Semarak, PowerChina meterai perjanjian projek bersepadu pengeluaran dan penyimpanan hidrogen hijau bernilai RM1.883 bilion | DagangNews Skip to main content

Semarak, PowerChina meterai perjanjian projek bersepadu pengeluaran dan penyimpanan hidrogen hijau bernilai RM1.883 bilion

Mohammad Shahil Ishak dan Ye Haoliang berjabat tangan selepas bertukar-tukar perjanjian kontrak melaksanakan sebuah projek bersepadu pengeluaran dan penyimpanan hidrogen hijau menggunakan ladang fotovoltaik terapung di Perak.

KUALA LUMPUR 17 Jan – China Hydropower (Malaysia) Co., Ltd., sebuah anak syarikat PowerChina dan Semarak Renewable Energy Sdn. Bhd. memeterai perjanjian untuk melaksanakan sebuah projek bersepadu pengeluaran dan penyimpanan hidrogen hijau menggunakan ladang fotovoltaik terapung di Perak.

 

Projek bernilai RM1.883 bilion ini melibatkan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar yang pertama seumpamanya di Malaysia.

 

Perjanjian projek tersebut dimeterai baru-baru ini oleh Pengerusi Semarak Renewable Energy Sdn Bhd, Mohammad Shahil Ishak manakala PowerChina diwakili Penolong dan Timbalan Pengurus Besar di Ibu Pejabat Wilayah Asia-Pasifik, Ye Haoliang.

 

Menurut Haoliang, projek ini dilaksanakan dengan memberikan keutamaan kepada penjagaan ekologi dan pembangunan hijau apabila menggunakan kawasan tasik bijih timah yang terbiar.

 

"Ini sekali gus membantu menjayakan transformasi hijau serta ke arah pelepasan rendah karbon di Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

semarak
Barisan pengurusan kanan Semarak Renewable Energy  Sdn Bhd dan PowerChina.

 

PowerChina, bersandarkan kepakarannya dalam sektor tenaga baharu, memberikan jaminan untuk menyegerakan perancangan dan pembinaan projek ini, sambil menyatakan komitmen tinggi mereka untuk membantu Semarak menjadi perintis dalam industri hidrogen hijau Malaysia.

 

Sementara itu, Mohammad Shahil menyatakan penghargaannya kepada PowerChina kerana kesediaan syarikat itu untuk bersama-sama menjayakan projek ini.

 

Pelaksanaan projek yang melibatkan reka bentuk, pemerolehan dan pembinaan fotovoltaik terapung, unit pengeluaran hidrogen dan unit penyimpanannya merupakan pencapaian penting PowerChina di Malaysia dalam penghasilan tenaga fotovoltaik dan hidrogen selain syarikat perkhidmatan tenaga bersih global yang terkemuka.

 

Sejak memasuki pasaran Malaysia pada tahun 1993, PowerChina melaksanakan lebih daripada 150 projek dengan nilai kontrak melebihi AS$7 bilion (RM32 bilion).

 

Projek-projek tersebut termasuk Stesen Hidro Kuasa Bakun, Stesen Hidro Kuasa Hulu Terengganu, Cawangan Universiti Xiamen Malaysia, Pusat Konvensyen dan Pameran Sabah dan Projek Fotovoltaik Berskala Besar Terengganu Majiang yang berperanan penting menggalakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan China-Malaysia.- DagangNews.com