SemarakNiaga: SME Bank tawar pinjaman sehingga 10 juta | DagangNews Skip to main content

SemarakNiaga: SME Bank tawar pinjaman sehingga 10 juta

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) diberi penerangan sewaktu melawat pameran Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia hari ini
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - SME Bank akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (YEF 2.0), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, secara kolektif, saiz dana untuk kedua-dua skim tersebut berjumlah RM300 juta. 

 

"Untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, Kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan. 

 

"Salah satunya ialah melalui kaedah equity crowd funding dan peer to peer financing yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), sebanyak RM100 juta," katanya ketika berucap merasmikan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir Menteri Kewangan,  Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

 

Ismail Sabri berkata, bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan atau gearing yang tinggi, kaedah pendanaan melebihi RM2.2 bilion melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity turut tersedia. 

 

"Kaedah ini diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta. BPMB juga akan menawarkan Skim RESET,atau Rehabilitation and Support Through Equity, dengan saiz dana sebanyak RM500 juta," katanya.

 

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyediakan Business Recapitalisation Facility bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama.

 

"Secara keseluruhannya, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

"Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas Bank Negara Malaysia (BNM) terutamanya Targeted Relief and Recovery Facility dan Agrofood Facility telah ditingkatkan secara kolektif sebanyak RM2.5 bilion kepada RM10 bilion. Jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah sebanyak RM10 bilion," katanya.

 

Tambah beliau, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia juga merangkumi jaminan pembiayaan perniagaan. 

 

Katanya, skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadualkan dan distruktur semula dengan had jaminan bernilai RM22 bilion. 

 

"Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi," katanya. - DagangNews.com