Sempadan negara dibuka 1 Mac ini - Majlis Pemulihan Negara | DagangNews Skip to main content

Sempadan negara dibuka 1 Mac ini - Majlis Pemulihan Negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

 

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, namun ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Jelasnya, pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

 

"Maklumat terperinci tentang bagaimana syarat-syarat tertentu, prosedur operasi standard (SOP) yang hendak ditetapkan sama ada kuarantin atau tiada, dan sebagainya akan diumumkan dalam masa terdekat oleh KKM," katanya dalam sidang media selepas menpengerusikan mesyuarat MPN hari ini. 

 

Menurut Muhyiddin, ia satu keputusan yang amat penting dalam usaha mengawal penularan wabak Omicron.

 

"Daripada taklimat oleh Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) tadi, nampak sistem kesihatan awam kita masih mampu utk menguruskan ini (COVID-19), kita ada banyak pengalaman. 

 

"Baik dari segi katil hospital, unit rawatan rapi (ICU), doktor dan sebagainya, semuanya ada. Walaupun kes meningkat, kapasiti yang ada itu dapat menampung, bilangan yang bertambah. Sebab itu bila ada keputusan hari ini, maka proses pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan," katanya.

 

Beliau berkata, langkah itu juga bagi memulihkan sektor pelancongan, penerbangan dan perniagaan yang terjejas ketika pandemik.

 

 

mpn
Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

 

"Kita percaya ia satu keputusan yang amat baik, pada masa sama kita pastikan SOP dipatuhi dan tahap kepatuhan SOP di negara ini cukup baik. Sebab itu kita dapat mengawalnya (wabak), dan kita antara terbaik di dunia," katanya.

 

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan geran dan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro, melalui pelbagai agensi kerajaan dan sistem perbankan negara.

 

Beliau berkata, MPN mencadangkan supaya penyelarasan semua bantuan kewangan pelbagai pihak dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, bagi meningkatkan penggunaan sumber yang optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan supaya tiada petindihan berlaku serta lebih ramai pengusaha terjejas menerima bantuan.

 

Katanya, MPN turut mengambil maklum industri pembinaan negara yang pada masa ini menghadapi isu kenaikan bahan binaan, kekurangan pekerja asing dan turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

"Industri pembinaan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara dalam proses pemulihan negara. Dalam hubungan ini, MPN menyokong cadangan-cadangan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk penyelesaian segera dan jangka masa panjang bagi isu yang lebih struktur," katanya. - DagangNews.com