Sempena setahun PKP, kerajaan 'hadiahkan' Pemerkasa | DagangNews Skip to main content

Sempena setahun PKP, kerajaan 'hadiahkan' Pemerkasa

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac - Hari ini, genap setahun perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 menjadi lebih buruk. 

 

Setahun lalu, pada tarikh ini, kes baharu COVID-19 direkodkan sebanyak 117 menjadikan keseluruhan kes berjumlah 790 dengan 2 kematian pertama direkodkan sehari sebelumnya. 

 

Semalam, 17 Mac, negara merekodkan 1,063 kes baharu dengan keseluruhan kes sebanyak 326,034. Sebanyak 1,218 kehilangan nyawa akibat wabak ini. Jumlah pesakit sembuh berjumlah 309,612 menjadikan kadar pemulihan pada 95%. 

 

Kerajaan juga telah memulakan pelancaran vaksin COVID-19 pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadikan individu pertama di negara ini menerima suntikan Pfizer. 

 

Keyakinan untuk meletakkan Malaysia kembali di landasan pemulihan kini menjadi keutamaan kerajaan di sebalik cabaran krisis wabak ini. 

 

Kerajaan semalam mengumumkan pakej rangsangan ekonomi kali kedua tahun ini, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion dengan suntikan fiskal baharu kerajaan berjumlah RM11 bilion.

 

Januari lalu, bagi memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan susulan pelaksanaan semula PKP, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) diumumkan bernilai RM15 bilion.

 

Ini menjadikan keseluruhan, 6 pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan kerajaan bagi menangani pandemik ini, bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion pada Mac 2020 dan diikuti Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan berjumlah RM10 bilion, sebulan kemudian.

 

Pada Jun 2020, kerajaan melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) membabitkan perbelanjaan RM35 bilion manakala pakej Kita Prihatin dengan peruntukan RM10 bilion pula dilaksanakan 3 bulan selepas itu.

 

Bagi penganalisis, pakej bantuan terbaharu itu dilihat sebagai pemangkin ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih positif tahun ini meskipun wabak itu masih berisiko kepada ekonomi. 

 

Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion

 

 

Unjuran pertumbuhan

 


Kenanga Research menjangkakan ekonomi negara menjejaki landasan pemulihan bermula suku kedua 2021 disokong oleh langkah fiskal yang besar dan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat. 

 

Dengan Pemerkasa, katanya, akan terus menyokong pertumbuhan pemulihan dan mengelakkan kemerosotan secara berterusan. 

 

"Kerajaan juga dijangka melonggarkan langkah-langkah sekatan jika kes harian jangkitan menurun di bawah 1,000 kes. 

 

"Tetapi, kami tidak menolak kemungkinan, ia akan berlaku sebaliknya jika kes melonjak secara mendadak," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengekalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang 4.5% tahun ini berbanding penguncupan 5.6% pada 2020. 

 

Antara sektor yang masih berisiko terutamanya peruncitan dan subsektor berkaitan pelancongan akan terus tertekan selagi rentas negeri dan sempadan negara tidak dibenarkan.

 

"Kami juga kekal berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan kerana masih terdapat potensi jangkitan COVID-19 akan meningkat dan juga impak ketidakstabila politik ke atas ekonomi," jelasnya.

 

UOB Global Economics & Markets Research berpendapat, pakej rangsangan terbaharu itu akan dibiayai menerusi gabungan terbitan hutang, peruntukan semula dana sedia ada yang tidak digunakan dan pendapatan berkaitan minyak yang tinggi.  

 

Berdasarkan anggaran sebelum ini, kerajaan berupaya mengutip tambahan RM300 juta bagi setiap kenaikan AS$1 bagi harga purata minyak Brent. 

 

"Kami menganggarkan kira-kira RM6 hingga RM7 bilion adalah tambahan pendapatan berkaitan minyak berasaskan harga minyak mentah Brent pada AS$65 setong (berbanding anggaran bajet AS$42 setong).

 

"Tetapi, ini diimbangi sebahagiannya oleh subsidi bahan api sebanyak RM3 bilion," katanya. 

 

Bank pelaburan itu mengunjurkan defisit fiskal tahun ini pada 5.7% berbanding unjuran rasmi, 5.4%.

 

KDNK pula dijangka berkembang pada kadar 5% tahun ini, disokong dasar monetari yang kukuh, pelancaran vaksin dan kes jangkitan semakin menurun.

 

Kedua-dua firma ini juga mengekalkan pandangan mereka terhadap pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang kemungkinan tidak berlaku sebarang perubahan bagi kadar faedah. 

 

Namun, masih terdapat ruang untuk melaksanakan pengurangan sekitar 25 hingga 50 mata asas jika pertumbuhan ekonomi terancam. 

 

 

Impak kepada pasaran

 


Bagi pasaran ekuiti, MIDF Research mengekalkan unjuran asas FBM KLCI pada 1,700 mata menjelang akhir tahun ini. 

 

"Kami melihat Pemerkasa lebih mirip kepada tulang belakang bagi menyokong usaha pemulihan ekonomi. 

 

"Dengan menjangkakan risiko penurunan adalah rendah terhadap trajektori makroekonomi, sebarang kelemahan dalam pasaran ekuiti boleh dilihat sebagai peluang pembelian," katanya. 

 

Ketika mengakhiri dagangan tengah hari, indeks FBM KLCI mengukuh 7.05 mata kepada 1,632.02 berbanding 1,624.97 mata pada penutupan semalam didorong prospek pemulihan ekonomi.

 

Mengenai kesan Pemerkasa ke atas ringgit, Kenanga Research berkata, ia dijangka memberi sedikit atau tiada impak dalam tempoh terdekat. 

 

Ringgit ketika ini terus tertekan akibat kenaikan hasil perbendaraan Amerika Syarikat (AS) dan pendirian dasar Rizab Persekutuan AS. 

 

"Tetapi, unit tempatan ini mungkin mengukuh dalam tempoh sederhana susulan prospek vaksinasi yang positif apabila kerajaan meningkatkan peruntukan bagi Program Imunisasi Kebangsaan. 

 

"Pada tahap ini, kami mengekalkan unjuran ringgit pada RM3.95 berbanding dolar AS menjelang akhir 2021," katanya. 

 

Di bawah Pemerkasa, kerajaan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama 2022. - DagangNews.com