Landskap pembangunan terancang Senai Airport City dengan kedudukannya di lokasi strategik menjadi tarikan pelabur.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 Dis - Senai Airport City Sdn. Bhd., (SACSB) baru-baru ini memeterai 2 perjanjian jual beli (SPA) dengan Wiwynn Technology Service (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk melupuskan 2 bidang tanah perindustrian kosong di Senai Airport City berkeluasan 11.877 ekar dan 19.437 ekar dengan pertimbangan pembelian sekitar RM68.3 juta.
SACSB adalah anak syarikat tidak langsung milik MMC Corp. Bhd. manakala Wiwynn Technology Service, pula merupakan anak syarikat milik penuh Wiwynn Corporation (Wiwynn), syarikat awam tersenarai di Taiwan Stock Exchange.
Zon Perindustrian Bebas Senai Airport City menjadi tapak pilihan Wiwynn untuk mengembangkan kemudahan pembuatan infrastruktur teknologi maklumat (IT) awannya bagi membangunkan pelayan pengkomputeran berprestasi tinggi, produk storan dan penyelesaian rak untuk pusat data terkemuka di rantau Asia Pasifik.
Pembinaan kemudahan pembuatan infrastruktur ini dijangka selesai menjelang 2023.
Naib Presiden Rantaian Bekalan dan Pembuatan Wiwynn, Robin Wang berkata, Senai Airport City merupakan satu-satunya kawasan pembangunan perindustrian di Iskandar Malaysia dengan Zon Perindustrian Bebas dan Zon Komersial Bebas seluas 400 ekar yang diwartakan memenuhi keperluan industri berorientasikan eksport, sekali gus menjadi lokasi ideal untuk hab pengedaran utama atau serantau di Asia Pasifik.
"Pembuatan di Malaysia adalah langkah penting bagi stretegi pembuatan global Wiwynn. Zon Perindustrian Bebas ini dapat memberi kami kelebihan dari segi kedudukan geografi yang hebat, kaya dengan bakat-bakat baharu dan fleksibiliti operasi yang tinggi untuk mengembangkan perniagaan kami dengan penuh yakin di rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, Senai Airport City telah melabur hampir RM550 juta untuk melengkapkan plot perindustrian bebas itu dengan kemudahan infrastruktur dan utiliti.
Model pembangunan 'plug and play' ini menyediakan jaminan kepada pelabur dan mempercepatkan garis masa pembangunan pelabur.
Tahun ini, SACSB menerima 7 pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), berjumlah hampir 140 ekar jualan tanah, dengan kesemua pengguna akhir menyasarkan untuk memulakan operasi pada 2022 dan 2023.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SACSB, Gan Seng Keong berkata, kunci kejayaan utama Senai Airport City adalah menerusi infrastruktur asas yang lengkap dan keterhubungan dengan pelabuhan dan lapangan terbang.
"Turut memainkan peranan penting, ialah kedudukannya di lokasi strategik dengan ekosistem dalam perindustrian matang di daerah Senai-Kulai," jelasnya. - DagangNews.com