KUALA LUMPUR 2 Dis - Inisiatif Art In The City (AITC) yang dikelolakan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) selama tiga bulan dari Oktober 2021 bakal berakhir dengan program Galeri Sensorium of Inversion/Immersion (SENSORii) yang akan berlangsung bermula 1 sehingga 28 Disember 2021 di REXKL, Jalan Sultan, Kuala Lumpur.
Art In The City 2021 yang dikendalikan oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dari bulan Oktober sehingga Disember 2021 menampakkan pelbagai inisiatif bagi pembangunan industri seni budaya demi memacu taraf ekonomi komuniti tempatan.
CENDANA terus mengungguli inisiatif memacu ekonomi seni budaya Malaysia dan berusaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi seni budaya serantau.
Ini amat penting dalam usaha Kerajaan membuka semula kemasukkan pelancong, meningkatkan profil ahli seni tempatan dan mempromosi bakat komuniti industri ini.
SENSORii, sebagai acara penutup tirai AITC, merupakan pameran seni digital yang menampilkan bakat-bakat karya seni artis multimedia tempatan seperti Lim Kok Yoong & KC Tan, Wee Jia Foong, FLUX 28 dan Ashly Nandong & Azarikh Amran, beserta iringan muzik yang digubah oleh Ahmad Muriz Che Rose.
SENSORii mengungkap kisah kota, kehidupan seharian dan konteks urbannya, tempat dan persekitaran yang didiami, ruang yang dihuni dengan teknik artistik dan kepelbagaian teknologi mencerminkan realiti keberadaan ini.
Pameran SENSORii ini dikendalikan kurator tersohor bertaraf antarabangsa, Yap Sau Bin, manakala bahagian teknikal diterajui oleh Melissa Teoh.
Sila daftar sekarang di https://www.eventbrite.sg/e/sensorii-artists-talk-primordial-spirit-tickets untuk tiket percuma!
AITC 3.0 merupakan edisi ketiga acara tahunan CENDANA.
Penganjuran tahun ini telah mencapai kejayaan signifikan dengan sokongan, kerjasama, dan komitmen semua pihak dan rakan usahasama yang terlibat dengan mengadaptasi norma baharu cabaran pandemik COVID-19. - DagangNews.com