Sentimen industri pembinaan kekal lemah, penganalisis menjangkakan FY24 menjadi 'sangat sukar' buat Pintaras Jaya | DagangNews Skip to main content

Sentimen industri pembinaan kekal lemah, penganalisis menjangkakan FY24 menjadi 'sangat sukar' buat Pintaras Jaya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Tahun kewangan 2024 (FY24) akan menjadi 'sangat sukar' buat Pintaras Jaya Bhd kerana sentimen dalam industri pembinaan kekal lemah selain kelewatan pelaksanaan projek mega dalam sektor awam.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, sektor pembinaan akan disokong oleh projek dalam sektor swasta bagi tempoh terdekat kerana pelaksanaan projek bagi sektor awam kekal perlahan.

 

"Kumpulan itu bagaimanapun optimis terhadap projek di Singapura di dalam kedua-dua sektor dan akan terus aktif membida projek di negara jiran itu.

 

"Secara keseluruhan, FY24 akan menjadi sangat mencabar kepada Pintaras Jaya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Buku pesanan tertunggak kumpulan itu ialah RM300 juta pada akhir Disember 2023 (berbanding RM230 juta pada Jun 2023) dan firma penyelidikan itu mengaanggarkan pekerjaan baharu bernilai RM180 juta pada 1HFY24.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM1.70 sesaham.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan rugi bersih RM5.36 juta bagi suku kewangan kedua berakhir 31 Disember 2023 (2QFY24), berbanding untung bersih RM1.76 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Kerugian itu hadir daripada bahagian pembinaannya, yang mengalami kerugian lebih besar, ditambah dengan pendapatan pelaburan yang lebih rendah berbanding suku kewangan perbandingan sebelumnya.

 

Hasil suku tahunan turun 20.3% kepada RM61.57 juta daripada RM77.24 juta pada suku tahun kewangan sebelumnya.

 

Sementara itu, MIDF Research menyuarakan perkara sama kesa kelewatan pemberian projek mega dalam sektor awam menjadikan sentimen dalam sektor pembinaan kekal lemah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan menjangkakan prospek yang lebih kukuh dari Singapura, yang terdiri daripada projek-projek dari kedua-dua sektor awam dan swasta.

"Kami menyemak turun unjuran penndapatan teras kumpulan sebanyak 45% kepada RM8.8 juta bagi FY24.

 

"Kami juga menurunkan saranan kepada 'neutral' berbanding 'beli' dengan TP RM1.68 sesaham," katanya. - DagangNews.com