Sentimen pengguna lemah dijangka terus jadi penghalang pemulihan jualan InNature, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Sentimen pengguna lemah dijangka terus jadi penghalang pemulihan jualan InNature, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan sentimen pengguna lemah bagi jangka masa panjang akan terus menghalang pemulihan jualan InNature Berhad pada suku akan datang.

 

Katanya, berdasarkan unjuran itu, pengguna akan menjadi lebih berhati-hati ketika berbelanja. 

 

Momentum jualan hanya akan menyaksikan peningkatan apabila kehadiran pelancongan antarabangsa naik (15% daripada jualan kumpulan semasa pra pandemik) atau kuasa perbelanjaan pengguna domestik meningkat.

 

"Persekitaran operasi mencabar di Vietnam dan Kemboja berkemungkinan terus menjejaskan pendapatan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan kumpulan itu bagi 3QFY23 menyusut sebanyak 77% kepada RM1 juta menjadikan untung bersih bagi 9MFY23 berad pada paras RM6 juta iaitu penurunan 60% dari tahun ke tahun.

 

Hasil kumpulan bagi suku berkenaan juga susut 9% berikutan penurunan jualan berpunca daripada kelamahan perbelanjaan pengguna akibat tekanan inflasi kos di seluruh Malaysia (-5%), Kemboja (-25%) dan Vietnam (-5%).

 

Firma penyelidikan itu berkata, dalam usaha menjaga alam sekitar, kumpulan itu komited menukar semua pembungkusan produknya kepada bahan yang boleh dikitar semula dan boleh diguna semula.

 

Katanya, kesemua produk kumpulan itu adalah 100% daripada tumbuhan dan bebas daripada sebarang ujian haiwan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 35 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com