Sentimen 'PKP', ringgit dibuka rendah  | DagangNews Skip to main content

Sentimen 'PKP', ringgit dibuka rendah 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Semua pihak kini tertumpu kepada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini mengenai langkah yang diambil bagi menangani COVID-19 apabila kes jangkitan semakin meningkat. 

 

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya kerajaan tidak mungkin  melaksanakan total lockdown seperti PKP sebelum ini.

 

Bagaimanapun, pasaran nampaknya berhati-hati terhadap sebarang keputusan yang akan diumumkan kerajaaan. 

 

Ia menyaksikan ringgit diniagakan rendah dalam pembukaan pagi ini, susut kepada RM4.0390/0440 berbanding dolar AS. 

 

Pada Jumaat, ringgit mengukuh RM4.0300/0340 berbanding dolar AS, didorong harga minyak yang lebih stabil dan prospek harga komoditi yang memberangsangkan susulan pakej rangsangan AS yang menyokong aset berisiko. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, ringgit boleh terus menyusut sekiranya kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekali lagi, dengan jatuh kepada RM4.07 berbanding dolar AS. 

 

Sementara itu, dalam nota kajian AmBank Research berkata, pada Jumaat, ringgit mengukuh 0.2%, tertinggi dalam tempoh 2 minggu ekoran harga minyak mentah yang kukuh. 

 

"Memandangkan semua kini ternanti-nanti kepada pengumuman Perdana Menteri, kami menjangkakan ringgit diniagakan hari ini pada paras sokonfan antara RM4.0029 dan RM4.0178 manakala paras rintangan pula antara RM4.0460 dan RM4.0610," katanya. 

 

Dolar AS, katanya mengukuh 0.3% kepada 90.098 selepas merosot pada Disember berikutan meningkatkan prospek lebih banyak fiskal akan disuntik bagi merangsang ekonomi yang dilanda wabak COVID-19.

 

Menurut Reuters, harga minyak merosot pada Isnin dengan Brent jatuh 42 sen kepda AS$55.57 setong selepas mencecah AS$56.39, paras tertinggi sejak 25 Februari 2020. 

 

West Texas Intermediate pula susut 22 sen kepada AS$52.02 setong. Pada Jumaat, ia menghampiri paras tertinggi bagi tempoh setahun. 

 

"Antara faktor utama yang mendorong kejatuhan harga minyak disebabkan kebimbangan terhadap permintaan bahan api global apabila langkah sekatan yang ketat dilaksanakan di Eropah dan juga China, yang merupakan pengguna kedua terbesar minyak dunia," katanya. - DagangNews.com