Sentimen positif terus mempengaruhi pasaran, KLCI kembali ke paras 1,600 mata | DagangNews Skip to main content

Sentimen positif terus mempengaruhi pasaran, KLCI kembali ke paras 1,600 mata

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Sentimen positif terus mempengaruhi pasaran tempatan dengan indeks utama FBM KLCI dibuka tinggi dalam pembukaan dagangan pagi ini. 

 

Pada 9.04 pagi, KLCI menokok 3.85 mata kepada 1,594.01 mata berbanding penutupan Jumaat pada, 1,590.16 mata. Indeks utama kemudiannya mencecah paras 1,601.66 mata.

 

Momentum bursa tempatan semakin mengukuh selepas barisan Kabinet diumumkan pada Jumaat lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

 

Malacca Securities Research berkata, pasaran tempatan menyaksikan dagangan tinggi selama 6 hari berturut-turut dengan indeks mencapai paras penutupan tertinggi sejak awal Jun pada minggu lalu

 

Katanya, ini disokong minat belian dalam pelabur asing dengan aliran masuk positif sebanyak RM964.3 juta dalam tempoh 5 hari di tengah-tengah risiko politik yang semakin reda dan pembukaan semula aktiviti ekonomi.

 

"Kami percaya sentimen positif ini akan berterusan terutama apabila Perdana Menteri menyasarkan kadar vaksinasi lebih 50% dalam kalangan populasi dewasa di 6 lagi negeri menjelang akhir September ini. 

 

"Di samping itu, beliau turut mempertimbangkan cadangan untuk Lembah Klang beralih ke fasa kedua di bawah Pelan Pemulihan Negara," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Setakat pagi ini, bursa tempatan menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi pada 237 berbanding 161 manakala 319 tidak berubah dan 1,529 kaunter tidak diniagakan. 

 

Dalam kalangan kaunter aktif, Sapura Engergy Bhd. mendahului dagangan dengan menokok 0.05 sen kepada 13 sen dengan 15.54 juta saham bertukar tangan. 

 

Selain itu, Impiana Hotels Bhd juga rancak diniagakan meningkat 0.05 sen kepada 7.5 sen diikuti Nexgram Holdings Bhd. menokok 0.05 sen kepada 3 sen. 

 

Bagi kaunter untung pula, saham berkaitan teknologi, Genetec Technology Bhd. dan Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) masing-masing mendahului dagangan dengan menokok 70 sen kepada RM29.80 dan 62 sen kepada RM44.82.

 

Sebaliknya, Nestle Malaysia Bhd. mendahului kaunter rugi susut 50 sen kepada RM134.20 diikuti Hengyuan Refining Company Bhd. susut 33 sen kepada RM4.14. - DagangNews.com