Sentoria rancang kumpul dana sehingga RM150 juta menerusi terbitan bon, penyatuan saham | DagangNews Skip to main content

Sentoria rancang kumpul dana sehingga RM150 juta menerusi terbitan bon, penyatuan saham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - Sentoria Group Berhad merancang mengumpul dana sehingga RM150 juta menerusi terbitan Bon Boleh Tebus Boleh Ubah (RCB) bagi melunaskan bayaran balik pinjaman selain digunakan untuk pembangunan hartanah.

 

Jumlah dana yang disasarkan itu adalah lebih tiga kali ganda daripada permodalan pasarannya sebanyak RM43.6 juta.

 

Pada masa sama syarikat pemaju hartanah itu turut mencadangkan penyatuan empat saham biasa sedia ada kepada satu yang dikenali sebagai saham disatukan.

 

Kumpulan itu berkata, langkah itu bertujuan menyelaraskan asas ekuiti syarikat dengan menawarkan pelaburan yang lebih disatukan untuk masa hadapan dan harga pelarasan saham selepas disatukan dijangka meningkat kepada 30 sen selain berpotensi stabil sekitar 20 sen.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sentoria Group, Datuk Loh Yuen Tuck berkata, cadangan penyatuan saham itu adalah selaras dengan dedikasi kumpulan terhadap ketelusan dan penciptaan nilai selain meletakkan syarikat bagi pertumbuhan mampan.

 

Katanya, terbitan RCB itu dengan jumlah prinsipal agregat sehingga RM150 juta direka untuk menyediakan syarikat dengan fleksibiliti kewangan yang diperlukan bagi memulakan inisiatif strategik dan meemnuhi keperluan operasinya.

 

"RCB wujud dengan tempoh matang selama 36 bulan.

 

"Instrumen kewangan ini bukan sahaja menyuntik modal tetapi juga menawarkan peluang kepada pelabur untuk mengambil bahagian pembangunan semula Sentoria," katanya dalam satu kenyataan.

 

Yuen Tuck berkata, pendekatan holistik itu menunjukkan komitmen syarikat untuk menangani struktur modal dan kebimbangan kecairan selain meletakkannya sebagai prospek bagi menarik pelabur, sektor perbankan dan dunia korporat.

 

Katanya, kebanyakan dana yang diraih akan segera digunakan untuk menyiapkan projek Bandar Peranginan Morib Bay (MBRC) menjelang suku kedua 2024 selain pembayaran balik pinjaman. 

 

"Selebihnya dana itu akan digunakan untuk pembangunan masa depan, pembangunan hartanah, dan modal kerja untuk perniagaan sedia ada untuk dua hingga tiga tahun akan datang," katanya.

 

Kumpulan itu mencatatkan kerugian sejak empat tahun lalu dengan mengalami kerugian bersih sebanyak RM97.12 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY22) selepas mengalami kerugian bersih sebanyak RM170.19 juta pada FY21. 

 

Sentoria mengalami kerugian bersih RM60.87 juta untuk tempoh 18 bulan berakhir 30 September 2023 dengan hasil sebanyak RM47.09 juta. Kumpulan itu pada April 2023 menukar tahun kewangannya kepada 30 September dan oleh itu tiada angka perbandingan tahun ke tahun untuk FY23.

 

Harga saham Sentoria ditutup turun satu sen atau 13.33% pada 6.5 sen, menjadikan kumpulan itu permodalan pasaran RM40 juta.

 

Setakat pukul 4.48 petang, harga saham Sentoria naik 0.5 sen atau 7.7% kepada 7 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM43.6 juta. - DagangNews.com