Seramai 45 sukarelawan UPM sertai Misi Kesukarelawanan Pasca Banjir di Baling | DagangNews Skip to main content

Seramai 45 sukarelawan UPM sertai Misi Kesukarelawanan Pasca Banjir di Baling

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - Seramai 45 sukarelawan UPM menyertai Misi Kesukarelawanan Pasca Banjir bagi membantu mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang, Baling, Kedah pada 6 Julai 2022.

 

Misi itu adalah sebahagian daripada usaha bersama oleh Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM).

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu melepaskan pasukan sukarelawan UPM perkarangan Pejabat Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP).

 

Majlis pelepasan itu turt disaksikan Pendaftar, Muhazam Mansor; Pengarah PKPP, Prof. Ts. Dr. Nur Izura Udzir; Pengerusi Jemaah Pengetua, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, Presiden INSAN, Presiden Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN), Hazrisham.

 

"Pihak Sukarelawan UPM turut menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan kepada mangsa banjir termasuk susu, makanan kering serta lampin pakai buang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Selain itu, misi anjuran PKPP, UPM dan INSAN, UPM dengan kerjasama Kor Siswa- Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA UPM) turut disertai wakil dari Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPer UPM), kenderaan dari Fakulti Kejuruteraan diiringi polis bantuan dari Bahagian Keselamatan UPM.

 

Misi itu turut mendapat sumbangan dari Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNCHEPA) dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) universiti itu. - DagangNews.com