Serba berat buat Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

Serba berat buat Serba Dinamik

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

Serba berat buat Serba Dinamik Holdings Bhd. Itu gambaran yang boleh diberikan kepada syarikat ini setelah lebih seminggu berada dalam radar pemerhati pasaran. 

 

Daripada isu berkaitan audit kewangan, kini apa yang boleh dikatakan ia berlarutan membabitkan skop yang lebih luas daripada hanya sekadar tadbir urus.

 

Terbaharu, setelah ditempelak ekoran tindakan dibuat pengarah bukan bebas bukan eksekutif, Datuk Abdul Kadier Sahib mengemukakan notis kepada syarikat untuk menukar KPMG kepada BDO PLT dengan mengadakan mesyuarat agung tahunan luar biasa (EGM), beliau mengeluarkan kenyataan u-turn seperti dimaklumkan Bursa Malaysia lewat malam tadi.

 

Abdul Kadier yang merupakan pemegang saham utama Serba Dinamik membatalkan tindakan tersebut, setelah mempertimbangkan dengan sewajarnya kebimbangan yang dibangkitkan pemegang saham dan pihak berkepentingan.

 

Malah, beliau juga berharap pihak pengurusan dan KPMG dapat mengatur sesi pertemuan antara kedua-dua pihak bagi membolehkan mereka mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung perkara-perkara berbangkit.

 

 

pnb

 

 

Semalam, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing sudah mula bersuara mengenai kebimbangan mereka terhadap isu yang membelenggu Serba Dinamik. 

 

Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pula sudah mula melupuskan kepentingannya dalam syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan ini sejak Selasa.

 

Dana itu dilaporkan sudah menjual 0.7% kepentingan atau 26.03 juta saham dalam pasaran terbuka menjadikan pegangannya berkurang kepada 4.53% berbanding 5.23% sebelum ini.

 

Serba sedikit, pelabur institusi dilihat mulai goyah terhadap syarikat bumiputera ini yang sudah bertapak di lebih 20 buah negara merentasi 6 benua di seluruh dunia. 

 

TA Securities dalam nota kajian bertarikh 31 Mei lalu, telah melahirkan kebimbangannya berhubung isu tadbir urus korporat dan integriti kewangan yang mungkin menjejaskan sentimen di mata pelabur dan tidak menolak kemungkinan berlaku penyelewengan dari segi perakaunan dan operasi Serba Dinamik.

 

"Kami yakin pasaran akan memberi reaksi negatif terhadap cadangan Serba Dinamik untuk menggantikan KPMG dengan juruaudit baharu," katanya.

 

Sementara itu, penyelidik di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Zulaikha Azmi berkata, imej Serba Dinamik sudah tercalar meskipun Abd. Kadier menarik semula kenyataannya untuk menukar juruaudit.

 

Katanya, bagi sebuah syarikat tersenarai, KPMG mengambil langkah yang betul dengan berdepan pengarah bebas apabila terdapat sesuatu yang mencurigakan dalam audit yang dijalankannya. 

 

"Tetapi, tindakan memanggil EGM untuk menggantikan juruaudit lain menimbulkan sentimen negatif kepada pelabur dan juga pemegang saham," katanya kepada DagangNews.com.

 

 

Zulaikha Azmi
Zulaikha Azmi

 

 

Bagaimanapun, beliau berkata, sama ada PNB mahupun KWSP mahu mengurangkan pegangan mereka seperti mana KWAP, ia tertakluk kepada perbincangannya dengan Serba Dinamik.

 

"Bagi saya, mereka akan buat keputusan terbaik selepas berbincang kerana yang menjadi keutamaan pelabur institusi berkenaan adalah duit rakyat yang berada dalam dana berkenaan.

 

"Kedua-dua dana ini mempunyai akauntabiliti yang cukup tinggi," tambahnya.

 

Beliau juga menyifatkan situasi yang menimpa Serba Dinamik kini membuka satu senario baru kepada syarikat-syarikat tersenarai dan syarikat milik kerajaan (GLC).

 

Sebagai syarikat tersenarai, katanya, Serba Dinamik tertakluk kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti yang mana segala tindak tanduk mereka sentiasa 'diawasi' badan pengawal selia.

 

"Bayangkan, jika situasi ini menimpa syarikat GLC lain, kita tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

 

Serba Dinamik disenaraikan pada 2017 dengan tawaran harga permulaan (IPO) RM1.53 sesaham.

 

Setakat 12.14 tengah hari ini, saham Serba Dinamik menokok 0.6% kepada 83 sen.

 

Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah yang juga pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulan kini memiliki 27.07% pegangan dalam syarikat itu dan kekal sebagai pemegang saham terbesar.

 

Sementara itu, Abdul Kadier pula turut memperoleh lagi 5 juta saham dalam pasaran terbuka pada Isnin menjadikan pegangannya kini meningkat kepada 16.09%. - DagangNews.com