Serba Dinamik bekerjasama dengan Johnson Controls bangunkan projek Blok 7, Abu Dhabi | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik bekerjasama dengan Johnson Controls bangunkan projek Blok 7, Abu Dhabi

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah (kiri) dalam majlis memeterai perjanjian dengan Johnson Controls baru-baru ini. 
 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Serba Dinamik Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik International Ltd (SDIL) menjalin kerjasama dengan Johnson Controls bagi membangunkan projek Blok 7, sebuah hab inovasi baharu di ZonesCorp’s Industrial City of Abu Dhabi (ICAD). 

 

Johnson Controls yang merupakan peneraju global bagi bangunan pintar dan lestari, berupaya memacu pembangunan hab itu sebagai ekosistem yang memupuk inovasi dan menyokong pereka cipta global.

 

Projek infrastruktur itu dijangka siap pada suku pertama 2023 dan akan dibangunkan mengikut standard kelas dunia.

 

Ia akan menempatkan pelbagai kemudahan antaranya ruang kerja, institusi akademik, makmal, pusat penyelidikan, komuniti kediaman mewah, hotel, kemudahan membeli-belah, taman tema digital dan e-arena.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, kumpulan meletakkan kedudukannya sebagai penyedia teknologi secara holistik dan mencari pakar global yang boleh mengisi jurang dalam mencapai sasaran ini. 

 

"Kepakaran dalaman Serba Dinamik berkaitan kecederdasan pintar (AI), VR/AR, keselamatan siber dan robotok akan dilengkapi dengan baik oleh kepakaran dimiliki Johnson Controls untuk menyediakan penyelesaian mapan pada masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Blok 7 akan memanfaatkan platform Johnson Controls OpenBlue, rangkaian penyelesaian dan perkhidmatan bangunan lengkap yang menggabungkan kepakaran syarikat selama 135 tahun dengan teknologi digital canggih.

 

Platform digital berasaskan awan yang disepadukan dengan sistem pembinaa teras dan ekosistem rakan kongsi yang dipertingkatkan, menghubungkan sistem yang terpisah secara tradisional kepada kewujudan keupayaan penggunaan ruang baharu yang lebih selamat, pantas dan lestari. 

 

Di samping itu, Johnson Controls turut menyatakan hasratnya untuk meneroka pengambilan ruang dalam pembangunan Blok 7 sebagai makmal penyelidikan dan pembangunan bagi penyelesaian dan teknologi baharu dalam permohonan bandar pintar.

 

Pada masa sama, kerjasama tersebut juga akan meneroka pilihan pembiayaan bagi pelaburan kerjasama untuk pembangunan Blok 7.

 

Secara dasarnya, pembangunan Blok 7, dimiliki oleh Block 7 Investments LLC yang mana 99% pegangan dimiliki EFIRE Capital Holdings Limited (EFIRE). EFIRE pula dimiliki LIWA Investment Holding dan SDIL dengan masing-masing memegang 51% dan 49% kepentingan.

 

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Building Solutions MEA Johnson Control, Rolando Furlong berkata, pihak berbesar hati kepada Serba Dinamik yang memilih Johnson Controls sebagai penasihat teknologi digital bagi pembangunan ikonik tersebut.

 

"Sehubungan itu, kami teruja dapat membawa kepakaran kami dalam membangunkan projek Hab Inovasi Blok 7 ini," katanya.- DagangNews.com