Serba Dinamik berdepan petisyen penggulungan daripada 6 institusi kewangan | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik berdepan petisyen penggulungan daripada 6 institusi kewangan

Saham Serba Dinamik kali terakhir diniaga pada 35 sen sesaham semasa penutupan dagangan tengah hari pada 22 Okt 2022. - Gambar Muhammad Amzar Jailani

SHAH ALAM 29 April - Enam institusi kewangan yang telah menyediakan RM1.2 bilion dalam pembiayaan berjangka bersindiket telah memfailkan petisyen penggulungan terhadap Serba Dinamik Holdings Bhd dan tiga anak syarikatnya.

 

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh theedgemarkets.com, institusi kewangan yang memfailkan tindakan itu ialah AmBank Islamic Bhd, Standard Chartered Saadiq Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, United Overseas Bank (M) Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd .

 

Tiga anak syarikat Serba Dinamik ialah Serba Dinamik International Ltd (SDIL), Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB), dan Serba Dinamik Group Bhd (SDGB).

 

Pemiutang memulakan tindakan undang-undang selepas syarikat minyak dan gas bersepadu global (O&G) tersebut gagal membayar ansuran RM99 juta yang perlu dijelaskan pada 20 Dis tahun lepas.

 

Mereka telah melantik Victor Saw Seng Kee, pelikuidasi berlesen PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd, untuk bertindak sebagai pelikuidasi Serba Dinamik, SDGB, SDSB dan SDIL.

 

Susulan siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC), Serba Dinamik dan empat pegawai tertingginya didakwa pada 28 Dis tahun lepas kerana mengemukakan penyata palsu berhubung rekod hasil tertinggi syarikat itu sebanyak RM6.01 bilion untuk 12 bulan tempoh berakhir 31 Dis 2020.

 

Tetapi dalam keadaan mengejut awal bulan ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menarik balik pertuduhan berikutan surat representasi oleh tertuduh. AGC belum menjelaskan secara terbuka keputusannya, menurut laporan FocusM.

 

Ini menyebabkan SC hanya mempunyai pilihan untuk mengeluarkan denda kompaun maksimum RM3 juta setiap satu terhadap syarikat itu dan empat individu dengan tambahan RM1 juta terhadap Muhammad Hafiz (jumlah sekaligus berjumlah RM16 juta).

 

Pemiutang berpandangan bahawa Serba Dinamik tidak mampu membayar hutangnya mengikut Seksyen 465(1)(e) dan Seksyen 466(c) Akta Syarikat 2016, dengan mengambil kira liabiliti semasa, luar jangka dan bakal syarikat, menurut kepada theedgemarkets.com.

 

Selain keingkaran pada ansuran RM99 juta, petisyen itu juga difailkan atas alasan Serba Dinamik tidak dapat memenuhi obligasi pembayaran berkaitan RM1.78 bilion dalam pembiayaan berjangka bersindiket.

 

Saham Serba Dinamik kali terakhir diniaga pada 35 sen sesaham semasa penutupan dagangan tengah hari pada 22 Okt tahun lepas sebelum penggantungan dagangan saham dan warannya, justeru memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM1.3 bilion. – DagangNews.com