Serba Dinamik dapat 15 kontrak O&M, EPCC | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik dapat 15 kontrak O&M, EPCC

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Serba Dinamik Holdings Bhd, melalui anak syarikat Malaysia dan Indonesia, berjaya memperoleh 15 kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu global itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, daripada 15 kontrak itu, lapan bernilai AS$67.7 juta (RM286.3 juta) dengan jangka masa kerja sehingga 31 Mei 2024.

 

SDHB berkata, unit PT SDI memperoleh tiga kontrak O&M di Indonesia, dua daripada PT Pertamina dan satu daripada Saka Energi Muriah Ltd.

 

Menerusi Serba Dinamik International Ltd, syarikat itu memperoleh satu kontrak EPCC bagi projek Kuasa Hidro Myagdi Khola 57.3-megawatt (MW) di wilayah Gandaki, Nepal.

 

Kumpulan itu juga memperoleh beberapa kontrak daripada Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd.

 

Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Ilyas Mohamed, berkata kontrak ini adalah bukti bahawa perniagaan operasi syarikat berkenaan masih dalam keadaan baik walaupun cabaran yang dihadapinya di bahagian korporat.

 

"Disokong oleh rekod prestasi yang baik, kami optimis bahawa Serba Dinamik mampu untuk menyiapkan 15 projek itu dan dalam masa yang sama memastikan ia menyumbang kepada aliran pendapatan syarikat," katanya.

 

Serba Dinamik berkata, kontrak yang diperoleh itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022. - DagangNews.com