KUALA LUMPUR 2 Julai - Antara kaunter-kaunter yang harus diberi tumpuan hari ini termasuklah Yinson Holdings Bhd, Vivocom Intl Holdings Bhd, Power Root Bhd, Green Packet Bhd dan Managepay Systems Bhd (MPay).
Ini berdasarkan kepada beberapa langkah korporat yang diumumkan semalam.
Yinson melaporkan kemudahan kapal pemunggahan simpanan pengeluaran terapung (FPSO) Lam Son mendapat lanjutan lagi untuk pengangkutan khas luar pesisir Vietnam dengan anggaran AS$18.1 juta.
Vivocom pula memeterai perjanjian utama (HOA) dengan Strattner Alternative Credit Fund LP untuk melabur sehingga AS$350 juta untuk langganan saham.
Sementara itu, Power Root pula dilaporkan menutup kilang operasinya di Johor untuk melaksanakan kerja sanitasi bagi membendung penyebaran COVID-19.
Anak syarikat MPay, ManagePay Services Sdn Bhd (MPSB) turut tidak ketinggalan memohon lesen bank digital dari Bank Negara Malaysia.
Green Packet pula menarik semula cadangan terbitan hak tiga-untuk-lima untuk mengumpul dana berjumlah RM328.37 juta, berikutan ketidaktentuan pasaran dan harga sahamnya sejak cadangan itu diumumkan.
Dalam kalangan kaunter aktif pagi ini, Serba Dinamik Holdings Bhd masih mendahului dengan dibuka pada 2.63% lebih tinggi kepada 39 sen.
Selain itu, KPower Bhd. menokok 1.66% kepada 92 sen manakala Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) naik 7.33% kepada 80.5 sen pagi ini.
Turut diperhatikan, saham T7 Global Bhd. menokok 5.41% kepada 39 sen manakala Metronic Global Bhd. susut 6.67% kepada 7 sen. - DagangNews.com