Serba Dinamik raih 10 kontrak termasuk di Indonesia & Zambia | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik raih 10 kontrak termasuk di Indonesia & Zambia

KUALA LUMPUR 1 Julai – Serba Dinamik Holdings Bhd meraih 10 kontrak baharu, termasuk tiga kontrak dianggarkan bernilai RM543.5 juta di Indonesia dan Zambia.

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, Serba Dinamik meraih kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) menerusi PT Serba Dinamik Indonesia yang 75% dikuasainya.

Selain itu, dua kontrak lagi ialah teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) menerusi subsidiri milik penuhnya, SDIT International Ltd.

Tujuh kontrak pula diperoleh oleh Serba Dinamik Sdn Bhd di Malaysia terdiri daripada kontrak operasi dan penyenggaraan yang tiada nilai khusus kerana ia berdasarkan panggilan, kata kumpulan syarikat itu.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, pihaknya gembira untuk menerima 10 kontrak tersebut, membolehkan usaha pengembangan operasi perniagaan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga Indonesia dan Zambia.

``Dua kontrak yang diperoleh di Zambia meneguhkan lagi kedudukan kami di Afrika dan keupayaan kami di dalam segmen ICT. Kami yakin Serba Dinamik akan mencatat pencapaian baharu di dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020,’’ ujar beliau.

Saham Serba Dinamik semalam ditutup enam sen atau 3.77% lebih tinggi pada RM1.65 dengan permodalan pasaran sebanyak RM5.56 bilion. – DagangNews.com