Serba Dinamik saman KPMG atas dakwaan cuai | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik saman KPMG atas dakwaan cuai

 

Oleh ANIS FARHANAH ABDUL MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Jun – Serba Dinamik Holdings Berhad menyaman firma audit KPMG atas dakwaan cuai di dalam pengauditan sehingga mengakibatkan syarikat menanggung kerugian hampir RM5 bilion dari segi permodalan pasaran.

 

Writ saman tersebut telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, dengan Serba Dinamik melantik peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili syarikat.

 

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed dan Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Ir. Ts. Abdul Karim Abdullah dalam sidang media petang ini, yang turut dihadiri Muhammad Shafee Abdullah.

 

Menurut Muhammad Shafee, pihaknya menyaman KPMG atas dakwaan firma audit itu telah gagal atau cuai untuk menyempurnakan laporan audit sehingga dan melainkan penilai bebas ketiga dilantik dan melengkapkan penemuan yang dibangkitkan oleh KPMG.

 

“Pada Jun 2021, KPMG tiba-tiba mengubah pendirian mereka.

 

“Serba Dinamik berpendirian dapatan yang dibangkitkan oleh KPMG tidak terbukti sahih sehingga memerlukan pandangan bebas, sebaliknya isu-isu yang dihadapi oleh KPMG adalah disebabkan oleh kecuaian mereka sendiri semasa proses audit.

 

“Serba Dinamik berpendapat tindakan KPMG menghentikan proses audit sehingga penilaian bebas pihak ketiga adalah suatu kecuaian yang melengahkan penyiapan laporan audit dan di dalam situasi biasa, mencetuskan spekulasi di pasaran.

 

Baca : 4 sebab Serba Dinamik mendakwa KPMG cuai

 

“Bagi mengelakkan sebarang keraguan, isu-isu yang dibangkitkan oleh KPMG telah pun diumumkan pada 28 Mei lalu,” kata beliau.

 

Serba Dinamik
ABDUL KARIM ABDULLAH (kiri), Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed (tengah) dan Muhammad Shafee Abdullah (kanan) dalam sidang media petang ini.

 

Oleh itu, Serba Dinamik menuntut pampasan daripada KPMG kerana syarikat telah kerugian dari segi permodalan pasaran sebanyak RM4,933,800,223.74 ; para pemegang saham, pelabur dan institusi kewangan hilang keyakinan terhadap syarikat, serta pelanggan Serba Dinamik, di dalam negara dan juga antarabangsa.

 

Serba Dinamik menuntut pampasan atas kerosakan am; kerosakan berbentuk pengajaran; kerosakan yang semakin memburuk; kadar faedah 5% setahun ke atas pampasan yang dikemukakan serta kos dan pampasan lain yang mahkamah akan putuskan kelak. – DagangNews.com