Sersol mengaku dihubungi SPRM dan Justin Lim masih CEO syarikat | DagangNews Skip to main content

Sersol mengaku dihubungi SPRM dan Justin Lim masih CEO syarikat

KUALA LUMPUR 14 Julai - Sersol Bhd menjelaskan Datuk Justin Lim Hwa Tat, orang yang berkepentingan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ialah ketua pegawai eksekutif (CEO) semasa syarikat itu, dan beliau telah pergi ke luar negara sejak Februari 2023.

 

Kenyataan Sersol di Bursa Malaysia itu adalah sebagai jawapan kepada laporan media mengenai permintaan SPRM untuk mendapatkan maklumat mengenai keberadaan Lim.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM buru Datuk Justin Lim Hwa Tat untuk bantu siasatan kes

 

SMTrack Bhd dalam pemfailannya dengan Bursa Malaysia Securities semalam mengenai Lim, yang merupakan pengarah eksekutifnya, menyatakan bahawa beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Sersol sehingga 15 Jun 2023.

 

Menurut syarikat itu, Lim telah berada di luar negara sejak Februari 2023 untuk "tujuan dan sebab yang hanya diketahui olehnya".

 

ARTIKEL BERKAITAN: SMTrack nafi tahu tentang siasatan Sersol, berusaha cari pengarah Justin Lim yang dikehendaki SPRM

 

Syarikat itu berkata dalam makluman kepada Bursa Malaysia Securities bahawa SPRM telah menghubungi Sersol dan syarikat itu difahamkan bahawa SPRM sedang menyiasat pembayaran tertentu yang dibuat oleh syarikat itu kepada pihak ketiga, yang telah diluluskan dan diarahkan oleh Lim.

 

"Majoriti lembaga pengarah syarikat itu tidak menerima sebarang maklumat terkini daripadanya setakat ini," kata Sersol dalam pemfailan di bursa yang dibuat lewat petang semalam. - DagangNews.com