SESCO kemuka saman balas ke atas Cahya Mata Sarawak sebanyak RM342 juta | DagangNews Skip to main content

SESCO kemuka saman balas ke atas Cahya Mata Sarawak sebanyak RM342 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Jan - Kemelut Cahya Mata Sarawak dengan SESCO Bhd bertambah rumit apabila syarikat utiliti tersebut mengemukakan tuntutan balas sebanyak RM342.2 juta berhubung pertikaian perjanjian pembelian kuasa (PPA).

 

Perkara ini dimaklumkan oleh Cahya Mata Sarawak di Bursa Malaysia hari ini bahawa SESCO menerusi peguam mereka telah membuat tuntutan tersebut dalam Memorial Responden bertarikh 3 Januari 2024.

 

“SESCO menuntut balas RM342,247,386.53 serta faedah, kos atau jumlah lain yang ditentukan oleh Tribunal Timbang Tara.

 

“Perbicaraan keterangan telah ditetapkan pada 26 Ogos 2024 hingga 30 Ogos 2024 di hadapan Tribunal Timbang Tara,” kata CMS.

 

Cahya Mata Sarawak terbabit di dalam pertikaian PPA dengan SESCO yang merupakan syarikat utiliti Sarawak berikutan tindakannya memotong bekalan kuasa di kilang Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd iaitu subsidiari CMS.

 

 

Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd

 

 

Berikutan itu, Phosphates menuntut pampasan sebanyak RM1.2 juta (atau jumlah lain yang ditentukan oleh Tribunal Timbang Tara) atas kerugian yang dialami akibat pemberhentian bekalan elektrik oleh SESCO.

 

CMS dengan tegas menegaskan bahawa perjanjian pembelian kuasa (PPA) dengan SESCO kekal utuh dan berkuat kuasa, sekali gus menolak dakwaan yang dibuat oleh SESCO mengenai penamatannya.

 

CMS menyatakan bahawa prosiding timbang tara yang berkaitan dengan PPA telah dimulakan, seterusnya menekankan kepercayaannya terhadap kesahihan perjanjian.

 

Syarikat itu berkata ia sedang giat meneruskan semua tindakan undang-undang yang ada untuk memastikan operasi berterusan kilang dan permulaan aktiviti komersial.

 

Sambil mengakui potensi kesan penutupan elektrik ke atas garis masa projek, CMS tetap teguh dalam komitmennya untuk berusaha ke arah penyelesaian.

 

CMS berkata, loji Phosphates, yang kini dalam peringkat akhir pentauliahan, sedang menjalani ujian ketat untuk mematuhi peraturan dan piawaian tempatan.- DagangNews.com