KUALA LUMPUR 20 April – SFP Tech Holdings Berhad, penyedia penyelesaian kejuruteraan dan automasi bersepadu sehenti yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad, hari ini menandatangani Perjanjian Taja Jamin dengan Public Investment Bank Berhad (PIVB) untuk pelaksanaan Tawaran Awam Permulaannya (IPO).
IPO itu kelak bakal melibatkan terbitan awam kira-kira 207.44 juta saham biasa baharu, di mana terdapat 40 juta saham tersedia untuk permohonan oleh orang awam Malaysia; 24 juta saham tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja syarikat yang layak dan anak syarikatnya dan orangn yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan.
Sebanyak 100 juta saham akan disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan baki 43.44 juta saham akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Menurut Perjanjian Taja Jamin tersebut, PIVB akan menaja jamin sejumlah 64 juta saham yang disediakan untuk orang awam Malaysia, kakitangan Kumpulan yang layak, dan orang lain yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan.
PIVB, selain menjadi Penaja Jamin Tunggal IPO SFP Tech, juga merupakan Penasihat Utama, Penaja dan Ejen Penempatan untuk proses IPO. Syarikat SFP dijangka melancarkan Prospektus pada akhir Mei 2022.
Pengarah Urusan Kumpulan SFP Tech, Keoh Beng Huat berkata, pihaknya gembira kerana SFP Tech telah mencapai satu lagi kejayaan korporat dan berasa sangat bertuah kerana berada pada tahap pertumbuhan korporat ini.
''Kami bersyukur mendapat sokongan PIVB sebagai penaja jamin tunggal untuk IPO kami, yang menandakan keyakinan yang kuat terhadap SFP Tech.
''Kami percaya pelaksanaan penyenaraian ini akan membolehkan SFP Tech mengukuhkan profil awamnya dan meningkatkan kesedaran pasaran perniagaannya terutama dalam penyediaan penyelesaian kejuruteraan dan automasi bersepadu."
Keoh menambah, dana yang dijana daripada IPO akan digunakan terutamanya untuk pengembangan perniagaan Kumpulan, merangkumi pembinaan kilang pembuatan ketiga di Penang Science Park, dan pembelian mesin dan peralatan baharu.
''Pelan ini membentuk sebahagian daripada strategi kami untuk mengembangkan Syarikat kami dalam penyediaan penyelesaian kejuruteraan dan automasi bersepadu kepada pelanggan kami," ujar beliau.
Pada majlis itu juga, Ketua Pegawai Eksekutif PIVB, Lee Yo-Hunnberkata, dengan adanya strategi pertumbuhan syarikat, pihaknya yakin IPO ini akan mengukuhkan kedudukan kewangan SFP Tech ketika ia memulakan fasa seterusnya pengembangan perniagaan mereka.
SFP Tech merupakan syarikat pemegangan pelaburan yang terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan pengurusan. Melalui anak syarikatnya, SFP Tech terlibat dalam penyediaan fabrikasi logam kepingan, pemesinan CNC dan perkhidmatan pemasangan mekanikal serta penyediaan penyelesaian peralatan automasi. - DagangNews.com