Shahril Anas dilantik CEO MAVCAP | DagangNews Skip to main content

Shahril Anas dilantik CEO MAVCAP

Shahril Anas Hasan Aziz

Shahril Anas Hasan Aziz

 

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Shahril Anas Hasan Aziz diumum dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Venture Capital Management Bhd. (MAVCAP) berkuat kuasa 1 Oktober 2020.

Pengerusi MAVCAP, Datuk Noharuddin Nordin berkata, pelantikan tersebut adalah untuk tempoh dua tahun.

"Shahril memiliki pengalaman lebih daripada 25 tahun dalam industri pelaburan termasuk modal teroka (VC) di samping kepakaran luas dalam pelaburan dan pengumpulan dana.

"Memandangkan pengalaman luas dan rekod prestasi beliau, kami yakin Shahril akan dapat terus menyokong usaha MAVCAP untuk memupuk ekosistem VC yang rancak bagi Malaysia sekali gus memacu peluang tempatan dan serantau bagi syarikat pemula niaga dan usahawan," katanya dalam satu kenyataan.

Shahril menyertai MAVCAP pada 2015 dengan peranan dan tanggungjawab menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi luar dan korporat bagi mewujudkan dana VC yang dikenali sebagai model Strategic Funds.

Dengan usaha tersebut, MAVCAP telah menjadi entiti milik kerajaan terbesar dengan jumlah ilai portfolio dana kira-kira RM5 bilion antara MAVCAP dan rakan kongsi sektor swasta, tempatan dan asing.

Menerusi dana Strategic Funds itu juga, Shahril terus terlibat aktif dalam usaha membimbing syarikat pemula niaga dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta industri pertumbuhan tinggi lain seperti Internet Pelbagai Benda (IOT), e-dagang dan fintech (teknologi kewangan).

Sebelum memulakan langkah di MAVCAP, Shahril pernah berkhidmat dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia dan Unit Peneraju Bumiputera (TERAJU).

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur. - DagangNews.com