Shell bekerjasama dengan Petronas Carigali bangunkan projek gas di luar pantai Bintulu, Sarawak | DagangNews Skip to main content

Shell bekerjasama dengan Petronas Carigali bangunkan projek gas di luar pantai Bintulu, Sarawak

KUALA LUMPUR 5 Sept - Sarawak Shell Bhd iaitu subsidiari Shell Plc, dengan kerjasama Petronas Carigali Sdn Bhd, telah mengambil keputusan pelaburan muktamad untuk membangunkan projek gas Rosmari-Marjoram.

 

Kawasan Rosmari-Marjoram terletak 220 kilometer (km) di luar pantai Bintulu di Sarawak dan akan dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui, menggunakan tenaga solar untuk platform luar pesisir.

 

Pengarah huluan Shell Zoe Yujnovich berkata, Rosmari-Marjoram akan membantu menyampaikan bekalan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai, secara bertanggungjawab dan cekap.

 

"Ini menunjukkan strategi Powering Progress kami - menjana hayat, menjana nilai dan mengurangkan pelepasan dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui untuk menjana kuasa Rosmari-Marjoram," kata Yujnovich.

 

Pengerusi Shell Malaysia dan naib presiden kanan huluan Malaysia Ivan Tan berkata, sokongan dan kerjasama daripada Petronas dan kerajaan Sarawak adalah penting untuk mencapai kejayaan itu dengan Rosmari-Marjoram.

 

"Shell mempunyai sejarah yang panjang dan membanggakan di Sarawak," kata Tan.

 

Pembangunan Rosmari-Marjoram merupakan salah satu projek strategik untuk memastikan bekalan gas yang berterusan ke Kompleks LNG Petronas.

 

Projek ini terdiri daripada platform luar pesisir yang dikendalikan dari jauh dan loji gas darat, dengan infrastruktur yang merangkumi salah satu saluran paip luar pesisir gas masam basah terpanjang di dunia yang menjangkau lebih daripada 200 kilometer.

 

Projek Rosmari-Marjoram direka untuk menghasilkan 800 juta kaki padu gas standard setiap hari. Pengeluaran gas dijangka bermula pada 2026. - DagangNews.com