Sheng Tai International ‘berevolusi’ menerusi platform media sosial semasa pandemik | DagangNews Skip to main content

Sheng Tai International ‘berevolusi’ menerusi platform media sosial semasa pandemik

SHENG TAI INTERNATIONAL kini menumpukan ke arah pembinaan The Sail yang bakal menjadi sebuah hab fesyen.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Sheng Tai International Sdn. Bhd. optimis terhadap prospek syarikat pasca pandemik COVID-19 dengan mengevolusikan segmen-segmen perniagaannya semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley melihat platform media sosial seperti Facebook merupakan medium penting untuk syarikat pembangunan hartanah itu kekal bertahan dan stabil semasa tempoh penguatkuasaan ini.

 

“Media sosial penting memandangkan sempadan (negara) masih ditutup, ini caranya kami berkomunikasi dan mengemas kini mengenai perkembangan projek, dan malah di China, mereka menggunakan platform media sosial yang berbeza. 

 

“Apa yang kami lakukan, kami memanfaatkan dapur hotel dan menghasilkan resepi-resepi baharu, dengan membawa pemasaran ke platform media sosial kami. Menerusinya, kami membantu untuk menguar-uarkan dan pelanggan masih lagi membuat tempahan, ini bermakna segmen ini tidak sepenuhnya tertutup dan masih lagi bergerak. 

 

Leong Sir Ley
Leong Sir Ley

 

“Hartanah sudah tentu merupakan perniagaan utama kami dengan produk-produk yang kami kumpulkan akan dievolusikan kepada, seperti kedai VVIP STI (Sheng Tai International). Antaranya untuk mempromosikan produk-prduk hartanah, kesejahteraan, kesihatan, agrikultur dan fesyen,” katanya dalam satu taklimat media, baru-baru ini. 

 

Sheng Tai International menampilkan dua saluran platform Facebook yang mempunyai pendekatan berbeza iaitu @MariMalaiHome dan @shengtaiinternational untuk terus mempromosikan produk-produk syarikat semasa penguatkuasaan sekatan pergerakan, serta pemasaran menerusi laman Instagram, @shengtaiinternational.

 

    Mengulas mengenai pembinaan The Sail, Sir Ley yakin projek pembangunan bagi fasa pertama yang kini telah mencapai 80% kadar pembinaan mampu disempurnakan menjelang penghujung tahun ini.

     

    Pembangunan fasa kedua hab fesyen di Melaka pula difahamkan sedang dibangunkan, sekitar 20% hingga 30% kadar pembinaan.

     

    “Kami masih percaya terhadap segmen hartanah dan apabila sempadan negara ditutup, kami menjual produk-produk hartanah menerusi cawangan-cawangan kami di Jepun; Beijing, Shanghai dan Hong Kong di China.

     

    “Ini hanya soal masa, dan era ini mengajar kita untuk menjadi kreatif. Sebenarnya, saya berpendapat pemulihan sektor hartanah sudah sangat dekat kerana vaksinasi dijalankan dengan pantas,” ujar Sir Ley lanjut. - DagangNews.com