Sheng Tai International, IWG jalin kerjasama teroka industri ruang kerja fleksibel | DagangNews Skip to main content

Sheng Tai International, IWG jalin kerjasama teroka industri ruang kerja fleksibel

 Majlis menandatangani perjanjian francais antara Datuk Leong Sir Ley dan Premita Dhaliwal sambil disaksikan oleh Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Rustam (tengah).

Majlis menandatangani perjanjian francais antara Datuk Leong Sir Ley dan Premita Dhaliwal sambil disaksikan oleh Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Rustam (tengah) di Melaka, Khamis.


 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac - Syarikat hartanah Sheng Tai International Sdn. Bhd. (Sheng Tai International) menjalinkan kerjasama dengan penyedia ruang kerja global terbesar di dunia, International Workplace Group (IWG).

 

Kerjasama francais tersebut dijalankan bagi meneroka industri ruang kerja flaksibel di negara ini.

 

Melalui perjanjian itu, Sheng Tai International menjadi rakan kongsi pertama IWG sejak ia membuka peluang francais di negara ini pada 2019. 

 

Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley berkata, pihaknya gembira dapat menjalin kerjasama dengan IWG bagi meluaskan industri ruang kerja fleksibel Malaysia.

 

"Kami percaya kini adalah masa yang tepat untuk melabur di dalam industri ruang kerja fleksibel di Malaysia, terutama di Melaka seiring dengan prospek optimisti pasca COVID-19 bagi negeri itu dan seluruh negara. 

 

"Semakin ramai orang dan jenama global yang mahukan lokasi strategik di luar pusat kota. Malah, pandemik telah mempercepatkan pertumbuhan trend ruang kerja fleksibel di seluruh dunia.”

 

"Dengan pembangunan unik kami di Malaysia, diganding lagi dengan kemudahan moden dan berkelas dunia IWG, kami berada di dalam kedudukan terbaik untuk menarik perhatian usahawan, PKS dan syarikat multinasional yang cenderung kepada teknologi, memperkasa semula ekonomi di Melaka dan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Majlis menandatangani perjanjian tersebut diwakili Datuk Leong Sir Ley dan Pengarah, Collin Tan bagi pihak Sheng Tai International.

 

IWG pula diwakili Ketua Negara bagi Malaysia, Indonesia dan Brunei, Vijayakumar Tangarasan dan Ketua Pertumbuhan Perkongsian – Malaysia, Premita Dhaliwal.

 

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Rustam.

 

Leong menambah, pihaknya turut merancang untuk membuka lebih banyak ruang kerja fleksibel di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

.

 

Sheng Tai International telah melabur sebanyak RM8 juta bagi memulakan perkongsian tersebut dengan tiga pusat di hartanah komersial syarikat tersebut di Melaka. 

 

Pusat pertama akan berada di bawah jenama Regus yang bakal dibuka di Metrasquare, Melaka, menjelang penghujung suku kedua 2021.

 

Pusat kedua pula berada di bawah jenama Spaces, yang akan dibuka di The Sail pada 2025.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau IWG, Gareth Haver memberitahu, pihaknya memerlukan rakan kongsi yang teguh apabila memutuskan untuk membuka peluang francais.

 

"Maka kami teruja untuk membuka lembaran baharu bersama Sheng Tai International. Mereka mempunyai cita-cita dan rekod prestasi yang kukuh yang melangkau sekadar hartanah. 

 

"Saya percaya keupayaan mereka menarik jenama global ke sini semasa pandemik adalah bukti nyatanya," tambahnya. 

 

Melaka Trade Square (Metrasquare) merupakan pembangunan komersial seluas enam ekar merangkumi komponen kediaman dinamakan Metrasquare Serviced Suites, sebuah jotel premium tiga bintang bernama Hotel Metrasquare dan sebuah hotel lima bintang bernama Ames Hotel.

 

Selain kedai runcit, kemudahan mesyuarat dan persidangan, kemudahan F&B, serta galeri sejarah Melaka dan ruang sosial seni yang bakal dibina. - DagangNews.com