Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga 12 barangan keperluan semasa bulan Ramadhan dan menjelang perayaan Hari Raya Puasa.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan skim tersebut akan berkuatkuasa bermula 21 April hingga 20 Mei 2021.
"Pelaksanaan ini juga memberikan mesej kepada pengeluar, pemborong dan peruncit bahawa kerajaan mempunyai kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu pada bila-bila masa boleh melaksanakan kawalan harga demi kepentingan rakyat.
"Selain itu, pelaksanaan Skim ini juga akan memberi kesan kepada lain-lain barangan makanan sedia masak seperti nasi ayam, ayam golek, kuih muih dan lain-lain juadah berbuka puasa yang berasakan ayam, telur ayam dan hasil laut," katanya dalam satu kenyataan.
Berikut adalah senarai 12 barang keperluan bagi SHMMP Hari Raya Puasa;
- Ayam hidup
- Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
- Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
- Daging lembu tempatan (Harga maksimum di Semenanjung dan Sabah sahaja)
- Daging lembu import (Harga maksimum di Sarawak sahaja)
- Daging kerbau import (Harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan WP Labuan sahaja)
- Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga dan 69.9 gram sebiji)
- Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
- Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
- Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
- Ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
- Ikan aya/tongkol (berat antara 1 ekor hingga 2 ekor setiap kilogram)
Jelas beliau lagi, meskipun perayaan disambut secara sederhana mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka akan meningkat berbanding sebelum Ramadhan dan menjelang perayaan.
Bagi sambutan Hari Raya Puasa, SHMMP akan dikuatkuasakan selama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, hari perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
Skim berkenaan akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Mengulas berkaitan dengan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit, beliau memberitahu, harga tersebut ditentukan mengikut kesesuaian dengan kos semasa dan trend harga semasa.
Tambah beliau, pihaknya membuat penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan
kepada maklumat harga dari tiga punca seperti berikut;
- Pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun 2020 dan pada bulan Januari sehingga April 2021 berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP.
- Pandangan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
- Maklumat daripada pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim berkenaan.
Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
- Individu: boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
- Syarikat: boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000
Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
- Individu: boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
- Syarikat: boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000. - DagangNews.com