Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) ketika menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pengarah Urusan Shoraka Digital Ventures, Johar Amat dan Pengarah Federal Koperasi Perkhidmatan Kewangan Malaysia Bhd., Mustafa A. Jalil bagi membangunkan Pasaran Antara Koperasi baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 8 Nov - Shoraka Digital Ventures (SDV), memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Federal Koperasi Perkhidmatan Kewangan Malaysia Bhd. (Fedkew) untuk membangunkan Pasaran Antara Koperasi (PAK), pasaran digital pertama untuk ekosistem koperasi.
Inisiatif PAK merupakan tempat pasaran digital untuk koperasi yang akan menyesuaipadankan mereka yang memerlukan pembiayaan jangka pendek dengan akses tunai jangka pendek bagi meningkatkan keupayaan pengurusan kecairan masing-masing.
Pengarah Urusan SDV, Johar Amat berkata, ekosistem koperasi buat masa ini kekurangan platform yang dapat membantu menyesuaipadankan mereka yang memerlukan pembiayaan jangka pendek dengan koperasi yang memiliki akses tunai jangka pendek.
Katanya, buat masa ini, kebanyakan koperasi bergantung kepada institusi kewangan seperti bank untuk mendapatkan pembiayaan modal kerja dan juga penempatan deposit.
"Melalui PAK, kami membangunkan ekosistem yang dapat meningkatkan akses pembiayaan untuk koperasi pada kos rendah, dengan pulangan deposit berpotensi tinggi bagi mereka yang memerlukan akses kepada tunai.
"Ia adalah platform daripada 'Koperasi kepada Koperasi' yang mana sumber disimpan di dalam ekosistem koperasi, dan memperkasakan koperasi untuk mencapai pertumbuhan sosioekonomi yang seimbang, inklusif, progresif dan mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis menandatangani MoU telah diadakan di S-Track 2021 disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. Sementara itu, Johar mewakili SDV manakala Fedkew diwakili Pengarahnya, Mustafa A. Jalil pada majlis berkenaan.
S-Track 2021 adalah inisiatif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) dan Fedkew untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan koperasi dalam kewangan industri.
Fedkew ditubuhkan untuk mengumpul semua Koperasi Kredit dan Ar-Rahnu di bawah satu entiti di mana Koperasi Pertama telah menerajui penubuhan kumpulan ini di bawah Akta Koperasi 1993.
SDV pula merupakan kumpulan ekuiti swasta dengan fokus perniagaan baharu fintech berasaskan Islam, melalui sayap perniagaan Shoraka Ventures Sdn. Bhd.
Kumpulan SDV adalah sebahagian daripada Shoraka Group, yang ditubuhkan pada Julai 2006 di Dubai, dengan tumpuan untuk memanfaatkan Penyelesaian Kewangan Islamik bagi memperkasakan masyarakat.
Mengulas lebih lanjut, Johar berkata, deposit tetap dengan bank akan menjana pulangan kira-kira 1.9% setahun, manakala koperasi yang memerlukan pembiayaan modal kerja daripada bank perlu membayar kos kadar faedah purata sebanyak 4.9% setahun.
“Perbezaan ini iaitu kira-kira 3% setahun adalah ketirisan daripada ekosistem, dan kami percaya ia akan dapat dikurangkan melalui PAK,” jelasnya. - DagangNews.com