Sifat Khusyuk membentuk personaliti berintegriti | DagangNews Skip to main content

Sifat Khusyuk membentuk personaliti berintegriti

Oleh AINUL RASYIQAH SAZALI

PERKATAAN ‘khusyuk’ dengan kata terbitannya telah disebut sebanyak 16 kali di dalam al-Quran.

 

Apabila mendengar perkataan ‘khusyuk’, sudah tentu yang terlintas di dalam fikiran kebanyakan orang yang mendengarnya adalah khusyuk di dalam solat.

 

Sifat khusyuk kebiasaannya dikaitkan dengan fokus atau memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara. Hakikatnya, perkataan khusyuk membawa makna yang lebih luas.

 

Sifat khusyuk bukan sahaja perlu diaplikasikan di dalam solat, malah ia perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian setiap individu.


 

AINUL RASYIQAH SAZALI
    AINUL RASYIQAH SAZALI

 


Khusyuk di dalam al-Quran membawa pelbagai makna berdasarkan konteks sesuatu ayat al-Quran.

 

Antaranya, di dalam surah Al-Hasyr ayat yang ke-21, mafhumnya, “Sekiranya kami menurunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau akan melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah”.

 

Imam At-Tobari di dalam kitab karangan beliau, Jami’ Al-Bayan dan Imam As-Sobuni di dalam kitab tafsir beliau, Sofwah At-Tafasir masing-masing menyatakan bahawa perkataan khusyuk di dalam ayat ini membawa makna az-zull dan al-khudhuu’ iaitu menghina diri, merendah diri serta tunduk patuh.

 

Manakala di dalam surah Fussilat, ayat yang ke-39, mafhumnya, “Dan sebahagian dari tanda-tanda kebesaranNya, engkau melihat bumi itu khusyuk…”.

 

Imam Al-Qurtubi di dalam kitab Al-Jami’ li Ahkam al-Quran mentafsirkan perkataan khusyuk di dalam ayat ini dengan kering dan tandus.

 

Khusyuk di dalam al-Quran secara keseluruhannya membawa makna al-khudhuu’ wa at-tawaadhu’ (tunduk patuh dan merendah diri), sukuun al-jawaarih (anggota badan yang tetap atau tenang kesan daripada perasaan hina dan rendah diri), al-khawf (takut), az-zull (menghina diri) dan al-yubuusah wa al-quhuulah (kering dan tandus).

 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, integriti membawa makna kejujuran, ketulusan dan keutuhan.  Ia juga bermakna melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat, atau dengan kata yang lebih ringkas tetapi padat, integriti adalah amanah.

 

Integriti merupakan asas kepada pembangunan negara yang maju dan telus. Oleh itu, amatlah penting untuk membentuk generasi muda dan belia dengan nilai integriti yang tinggi kerana mereka merupakan pemimpin pada masa hadapan yang akan mewarisi tampuk pentadbiran dan pemerintahan negara.


 

parafrasa

 


Ini juga selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dirangka sebagai usaha untuk memetakan strategi tatakelola dan pentadbiran negara secara berkesan dengan menitikberatkan pemerkasaan ekonomi dan budaya berteraskan nilai, etika dan akhlak.

 

Integriti, ketelusan dan pencegahan rasuah adalah aspek yang sangat penting demi mencapai matlamat peningkatan taraf hidup rakyat dan menjaga kestabilan ekonomi negara.

 

Sekiranya sifat khusyuk iaitu rasa takut, berharap dan berwaspada sentiasa wujud di dalam diri seseorang, maka sudah tentu, setiap pergerakan dan perbuatan yang dilakukan penuh berhati-hati kerana dia merasakan dan sentiasa berharap agar setiap perbuatannya bernilai ibadah, takut dan risau sekiranya tidak menjalankan amanah yang diberi dengan sebaiknya.

 

Maka, di sini lahir dan terbentuklah personaliti yang berintegriti. Sirah juga telah membuktikan bagaimana tokoh-tokoh Islam hebat seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan para sahabat radiyallahu ‘anhum yang lain cemerlang dalam kehidupan mereka serta menjadi model dan ikutan kesan dari sifat khusyuk yang disebatikan dalam diri mereka.


 

parafrasa

 


Sifat khusyuk mampu memberi kesan positif dalam segenap segi kehidupan seorang insan.

 

Maka seorang yang takut dan tunduk patuh kepada Allah, sentiasa merasakan gerak-gerinya diperhatikan oleh Yang Maha Melihat, akan tamayyuz (berbeza dan cemerlang) pada setiap perkataan dan perbuatannya.

 

Jadi, ayuh bersama-sama kita mengaplikasikan sifat khusyuk, bukan sahaja di dalam solat, malah dalam kehidupan seharian kita.

 

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa sifat khusyuk mampu memberi kesan positif kepada pembentukan personaliti berintegriti. – DagangNews.com

 

Ainul Rasyiqah Sazali adalah Pensyarah Bahasa Arab, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.