Setelah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan membentuk negara persekutuan Malaysia pada tahun 1963, telah banyak dasar yang telah dirangka dan dilaksanakan bagi mencapai hasrat negara maju berpendapatan tinggi.
Namun segala perancangan yang telah dilaksanakan masih lagi belum memenuhi piawaian dan objektif yang telah ditetapkan.
Mengambil contoh Dasar Pandang ke Timur di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-4 Malaysia Tun Mahathir pada ketika itu telah diluncurkan bagi mengambil contoh kemajuan yang dimiliki oleh negara Jepun.
Manakala Dasar Pandang ke Barat di bawah pentadbiran Perdana menteri ke-5 Tun Abdullah pada ketika itu telah menjadikan negara India sebagai contoh kemajuan yang dimiliki oleh negara tersebut.
Di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan asas kepada kerangka Malaysia MADANI bagi menjadikan negara Malaysia bergerak pantas dalam pelbagai bidang yang terkait dengan transformasi digital, tenaga hijau dan kelestarian alam, kecerdasan buatan, peralihan ke tenaga baharu, pembinaan karamah insaniah yang sesuai dengan gagasan menggapai langit dan berakar ke bumi ilham daripada beliau.
Selain berusaha keras menaikkan nama Malaysia ke persada dunia, usaha yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim merupakan satu usaha yang memerlukan seluruh rakyat merealisasikan tekad untuk menjadikan dunia memandang dan melaksanakan ‘Dasar Pandang ke Malaysia’.
Dasar ini adalah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dilihat mampu memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan perpaduan kaum, kestabilan politik dan menumpukan usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan negara melalui wahana kerangka ekonomi MADANI.
Dengan seluruh jentera kerajaan yang ada dan memiliki kepakaran di dalam mengurus hasil kebijaksanaan Tuanku Yang Di-Pertuan Agong telah berjaya menubuhkan Kerajaan Perpaduan yang dilihat serasi dan mempunyai kebersamaan dalam mentadbir sejak tempoh dua tahun ini.
Kerajaan Perpaduan yang dibentuk telah berjaya menaikkan nama Malaysia ke persada dunia sehinggakan tahap keyakinan pimpinan dunia terutama negara kuasa besar semakin yakin terhadap pentadbiran Anwar Ibrahim.
Bahkan pencapaian negara malaysia diakui oleh badan penarafan dunia yang mengiktiraf bahawa Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi satu blok kuasa gabungan negara ASEAN yang mampu menjadi penyumbang terbesar dalam kemajuan negara anggota.
Justeru, seluruh rakyat Malaysia perlu meletakkan keyakinan kukuh terhadap usaha murni Kerajaan Perpaduan bagi memastikan tahap keyakinan pelabur semakin kukuh dan segala perancangan ekonomi MADANI dapat direalisasikan dengan segera.
Malaysia mempunyai keunikan yang tersendiri dengan latar belakang geopolitik yang matang dan bergerak ke hadapan.
Usaha untuk menarik lebih ramai rakyat agar terus menyokong Kerajaan Perpaduan dilihat semakin meningkat kerana kegagalan pihak pembangkang yang dilihat kini masih keterbelakang dalam mendepani kejayaan demi kejayaan yang ditempa hasil kerja gigih pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Bahkan negeri pembangkang juga dilihat menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan untuk ditingkatkan pelaburan demi memastikan agenda memperkasakan rakyat terus dipacu tanpa menyisihkan mana-mana pihak walaupun berlainan ideologi politik.
Ini kerana Kerajaan Perpaduan sudah berjaya membina imej untuk menolak politik kebencian dan adu domba yang melampau daripada segelintir pihak.
Tidak mustahil acuan sebegini akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang akan menjadi rujukan masyarakat dunia dan hal ini perlu direalisasikan segera oleh seluruh rakyat Malaysia yang matang dan ingin maju ke hadapan. - DagangNews.com