Pasaran pekerjaan teguh, kenaikan gaji minimum bakal mendorong perbelanjaan pengguna - RHB Research  | DagangNews Skip to main content

Pasaran pekerjaan teguh, kenaikan gaji minimum bakal mendorong perbelanjaan pengguna - RHB Research 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Perbelanjaan pengguna dijangka kekal kukuh dibantu oleh pasaran perkerjaan menggalakkan serta kenaikan gaji minimum di sektor awam dan swasta, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB Research). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, gaji penjawat awam meningkat sebanyak 8% berkuat kuasa pada Disember 2024, manakala gaji minimum bulanan akan meningkat daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai Februari 2025.

 

Katanya, kenaikan gaji itu sepatutnya menyokong pengguna dalam menampung kos sara hidup.

 

“Sementara itu, bagi syarikat pengguna, ringgit yang lebih kukuh serta harga komoditi yang lebih baik dan stabil dijangka membantu melindungi margin keuntungan mereka.

 

“Walaubagaimanapun, kami masih menunggu keterangan mengenai mekanisme rasionalisasi subsidi petrol yang mungkin meningkatkan kadar inflasi dan seterusnya memberi kesan kepada sektor pengguna," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

RHB Research berkata, sentimen pengguna mungkin kekal lemah, diseret oleh tekanan inflasi yang tinggi yang akan mendorong mereka menjadi lebih sensitif dengan harga produk, sekali gus mengehadkan perbelanjaan. 

 

Di samping itu, RHB Research lebih menyukai syarikat yang mampu menyelaraskan harga dibantu oleh permintaan kukuh dan seterusnya mengurangkan peningkatan kos operasi. 

 


MR DIY Group (M) Bhd dijangka menjadi syarikat utama yang meraih peningkatan dalam perbelanjaan pengguna. 

 

Firma tersebut juga menyukai Farm Fresh Bhd, berdasarkan pertumbuhan barisan teratasnya yang berterusan disokong oleh pelancaran produk baharu dan pelbagai rancangan pengembangan.

 

"Kami menyukai Focus Point Holdings Bhd, kerana pertumbuhannya dalam perniagaan cermin mata didorong oleh peningkatan bilangan orang yang rabun, lonjakan dalam jualan pelanggan korporat dan strategi pemasaran yang berkesan," katanya. 

 

Firma itu kekal yakin dengan prospek pendapatan Guan Chong Bhd dari suku keempat 2024 dan seterusnya, disokong oleh jualan hadapan pada nisbah yang menggalakkan dan volum pengeluaran yang normal.

 

Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan "neutral" ke atas sektor produk pengguna.- DagangNews.com