Mengubah Minyak Sawit untuk Masa Depan Lebih Baik - Pakar dari SD Guthrie Berhad | DagangNews Skip to main content

Mengubah Minyak Sawit untuk Masa Depan Lebih Baik - Pakar dari SD Guthrie Berhad

Oleh Dr. David Ross Appleton, Ketua Pegawai Penyelidikan & Pembangunan, SD Guthrie Berhad

Industri minyak sawit sering menjadi pusat perdebatan global mengenai kelestarian.

 

Daripada menjadi tanaman minyak yang paling efisien di dunia kepada kontroversi yang melibatkan penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti, naratif mengenai minyak sawit adalah sangat kompleks.

 

Bagaimanapun, mereka yang telah lama berkecimpung dalam industri ini turut menyaksikan evolusinya. Daripada usaha meningkatkan hasil melalui program pembiakan inovatif kepada menangani kritikan global terhadap isu alam sekitar, industri ini telah melangkah jauh.

 

Apabila membicarakan mengenai produktiviti hasil, kecekapan minyak sawit tiada tandingan. Namun, persepsi awam sering kali mengabaikan kelebihan ini, sebaliknya lebih menumpukan pada kontroversi alam sekitar.

 

 

Dr. David Ross Appleton
                Dr. David Ross Appleton

 

 

Fakta yang tidak boleh disangkal ialah minyak sawit menghasilkan minyak yang jauh lebih banyak per hektar berbanding alternatif seperti kacang soya atau bunga matahari – dan ini menjadikannya tanaman penting untuk menyara populasi dunia.

 

Walau bagaimanapun, populasi global kini berada pada titik kritikal. Daripada kira-kira 8.2 bilion orang sekarang, jumlah ini sedang meningkat dengan pesat dan dijangka mencecah 9.7 bilion menjelang tahun 2050.

 

Ini bermakna permintaan terhadap produk pertanian akan terus meningkat, memberikan cabaran kepada manusia tentang bagaimana kita dapat meningkatkan produktiviti di atas tanah pertanian yang terhad tanpa menjejaskan alam sekitar, komuniti, atau generasi akan datang?

 

Mengimbangi pertumbuhan, keselamatan makanan, dan perlindungan alam sekitar bukanlah tugas yang mudah.

 

Perkembangan industri minyak sawit secara selama ini dilihat telah memberi kesan terutamanya di kawasan yang kaya dengan biodiversiti seperti Asia Tenggara.

 

Namun, dalam dekad yang lalu, industri ini telah membuktikan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dan menunjukkan kemajuan besar dalam melaksanakan amalan mampan.

 

Sebagai contoh, penyelidikan genomik oleh pemain utama industri seperti SD Guthrie telah mengubah bagi industri ini. Kami telah berjaya membiak pokok sawit yang mampu menghasilkan hasil minyak yang jauh lebih tinggi.

 

Inovasi cemerlang ini sangat penting dalam usaha memisahkan produktiviti daripada kaitanya dengan penebangan hutan.

 

 

parafrasa

 

 

Dengan memahami genom pokok sawit, kami juga sedang maju ke arah pembiakan pokok yang tahan terhadap perosak, penyakit, dan keadaan cuaca ekstrem.

 

Inovasi teknologi juga membolehkan kita memaksimumkan kecekapan setiap hektar. Mesin kini telah mengambil alih kerja manual yang sangat memenatkan dan telah menjadi amalan industri ini selama lebih daripada satu abad, menjadikan kerja lebih mudah dan produktif untuk pekerja.

 

Dron digunakan untuk menyembur racun perosak dengan lebih cekap di tapak semaian dan ladang sawit muda, manakala pemantauan geo-spatial dan penjejakan GPS mengoptimumkan produktiviti mesin di lapangan.

 

Teknik pertanian tepat dalam ladang kelapa sawit memastikan setiap titisan baja dan setiap gram racun perosak digunakan dengan bijak, sekali gus mengurangkan pembaziran dan kesan alam sekitar.

 

Apabila berlakunya perubahan iklim yang semakin memuncak, industri minyak sawit juga perlu bersedia menghadapi kesannya. Pokok sawit sangat sensitif terhadap perubahan suhu dan taburan hujan, yang secara langsung mempengaruhi hasil pengeluaran.

 

Ini bermakna komitmen terhadap  iklim dan pencapaian sifar bersih bukan lagi satu pilihan—ia adalah keperluan.

 

Pelaburan dalam pengurangan pelepasan karbon seperti loji biogas dan amalan berdaya tahan iklim seperti pengurusan air, ekonomi kitaran, serta menukar sisa kepada sumber adalah amat penting.

 

Selain itu, biomassa daripada pengeluaran minyak sawit boleh ditukar menjadi bioenergi atau digunakan untuk menghasilkan bahan biodegradasi, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

 

 

parafrasa

 

 

Di luar kebimbangan alam sekitar, industri minyak sawit mempunyai kesan mendalam terhadap masyarakat. Ia menyediakan sumber pendapatan kepada berjuta-juta orang, terutamanya dalam komuniti luar bandar.

 

Dengan sokongan yang betul, ia boleh memacu pembangunan sosial melalui peningkatan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, dan infrastruktur.

 

Pekebun kecil, yang menyumbang sebahagian besar kepada pengeluaran minyak sawit global, adalah kunci kepada transformasi mampan industri ini.

 

Ramai daripada mereka kekurangan akses kepada alat canggih dan latihan. Dengan memperkasakan pekebun kecil melalui teknologi mampu milik dan program perkongsian ilmu, kita dapat memastikan usaha ke arah kemampanan bersifat inklusif.

 

Menukar Naratif

Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh industri minyak sawit adalah persepsi umum. Minyak sawit sering kali dianggap negatif, tetapi tindakan beralih kepada minyak alternatif boleh menyebabkan kesan buruk yang lebih besar terhadap alam sekitar.

 

Untuk mengubah naratif ini, industri perlu mengamalkan ketelusan. Alat pengesanan (traceability tools) membolehkan pengguna melihat dengan jelas dari mana minyak sawit mereka berasal dan sama ada ia memenuhi piawaian kemampanan.

 

Pensijilan seperti RSPO (Meja Bulat Minyak Sawit Lestari ) dan MSPO (Minyak Sawit Mampan Malaysia) memberikan jaminan bahawa produk tersebut dihasilkan secara bertanggungjawab.

 

Walau bagaimanapun, ketelusan sahaja tidak mencukupi. Industri juga perlu menyampaikan ceritanya dengan lebih baik. Pengguna perlu memahami bukan sahaja cabaran yang dihadapi tetapi juga kemajuan yang telah dicapai.

 

 

parafrasa

 

 

Dari projek pemulihan hutan sehingga teknologi terkini, terdapat banyak contoh perubahan positif oleh industri yang wajar mendapat pengiktirafan.

 

Menyedari kepentingan inisiatif kemampanan dengan berkesan, SD Guthrie baru-baru ini melancarkan rangka kerja kemampanan baharunya yang dinamakan Beyond Zero.

 

Ia merangkumi pendekatan kami terhadap usaha untuk menjadi salah satu pengeluar utama minyak sawit mampan yang diperakui di dunia. Rangka kerja ini juga menggariskan komitmen kami untuk masa hadapan.

 

Dengan Beyond Zero, kami berhasrat untuk bukan hanya sekadar mengurangkan kesan negatif kepada secara proaktif memulihkan alam semula jadi serta mengubah kehidupan dan mata pencarian, tetapi lebih dari itu.

 

Dengan desakan perubahan iklim, sekadar memenuhi piawaian kemampanan minimum tidak lagi mencukupi. Untuk membina masa depan yang lebih baik, industri mesti berusaha untuk melangkaui jangkaan.

 

Persoalannya bukan sama ada industri minyak sawit boleh berubah—ia boleh dan telah pun berubah. Sebagai salah satu industri yang paling disorot di dunia, industri ini terus memperkukuh piawaian kemampanannya, melampaui banyak sektor pertanian lain.

 

Melangkah ke hadapan, satu perkara jelas: minyak sawit akan kekal sebagai tanaman yang berdaya maju untuk masa depan. Tetapi masa depannya bergantung kepada evolusi yang berterusan dengan kemampanan sebagai teras transformasinya. - DagangNews.com

 

Mengenai Dr. David Ross Appleton

Dr. David Ross Appleton, PhD Dr. Appleton merupakan Ketua Pegawai Penyelidikan & Pembangunan (R&D), SD Guthrie Berhad (dahulunya dikenali sebagai Sime Darby Plantation). Beliau menyertai Sime Darby Plantation R&D pada tahun 2010 dan kemudiannya memegang jawatan sebagai Ketua Bioteknologi dan Pembiakan, memantau pembangunan dan pengkomersialan GenomeSelect® serta program genetik, pembiakan, dan bioteknologi yang lain. Pada tahun 2020, beliau memegang peranan sebagai Ketua Inovasi dan Pembangunan Produk untuk SD Guthrie International (dahulunya dikenali sebagai Sime Darby Oils), sebelum kembali ke bahagian R&D pada tahun 2023 untuk mengambil jawatan semasanya. Dr. Appleton berpindah ke Malaysia pada tahun 2008 untuk menjalankan tugas di Universiti Malaya selepas berkhidmat selama lima tahun di MerLion Pharmaceuticals, Singapura, sebagai Saintis Penyelidik Utama dalam Penemuan Ubat. Beliau berasal dari New Zealand dan memiliki PhD dalam bidang Kimia dari The University of Auckland, New Zealand.