KUALA LUMPUR 18 Sept - Sime Darby Oils International Ltd (SDO) telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Beibu Gulf International Port Group Ltd (BGP) untuk mengembangkan perniagaan di China dengan meneroka peluang minyak sawit di wilayah Guangxi.
Dalam satu kenyataan media hari ini, cabang aktiviti hiliran Sime Darby Plantation Bhd itu berkata MoU bagi tempoh setahun itu adalah untuk memanfaatkan pelabuhan, logistik, perdagangan dan kelebihan BGP yang lain di wilayah ekonomi Teluk Beibu untuk meneroka peluang menubuhkan pusat pengedaran perdagangan lelemak di zon perdagangan bebas Qinzhou.
Kedua-dua syarikat juga akan meneroka penggunaan gudang berbon sedia ada sebagai pusat perdagangan dan pengedaran minyak sawit yang ditapis di zon perdagangan bebas Qinzhou dan memohon untuk menjadi gudang penghantaran Dalian Commodity Exchange.
SDO dan BGP juga berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya dasar keutamaan di bawah zon perdagangan bebas Guangxi untuk pusat perdagangan dan pengedaran minyak sawit ditapis tersebut.
Selain itu, SDO dan BGP juga merancang untuk memasarkan produk kesihatan, seperti tokotrienol dan minyak merah daripada minyak sawit, di pasaran domestik China.
MoU itu menyasarkan jumlah dagangan sasaran gabungan untuk lelemak dan minyak sawit ditapis kira-kira 500,000 tan setahun.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pejabat Perdana Menteri (PMO), MoU ini mempunyai anggaran eksport sebanyak RM2.5 bilion.
Pengarah Urusan SDO, Mohd Haris Mohd Arshad berkata kerjasama tersebut menawarkan peluang menarik untuk menjual dan mengedar produk minyak sawit syarikat melalui pelabuhan Qinzhou ke kawasan pengguna utama di tanah besar China, di mana jumlah penduduk negara itu adalah kira-kira 1.4 bilion orang.
“Dengan permintaan produk minyak sawit yang semakin meningkat dan peningkatan jumlah perdagangan antara China dan Malaysia, kami menjangkakan kerjasama ini akan menggalakkan pertumbuhan mampan rantaian bekalan dan merangsang permintaan lebih besar untuk minyak sawit di China,” katanya.
Mohd Haris menambah bahawa kerjasama yang berjaya dengan BGP akan menjadi satu lagi pencapaian SDO sementara ia membina kedudukannya sebagai pembekal pilihan produk minyak sawit diperakui mampan dan bernilai tinggi untuk pasaran global.
Pada pukul 4 petang hari ini, saham Sime Darby Plantation susut 13 sen atau 2.8% kepada RM4.45, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM30.8 bilion. - DagangNews.com