KUALA LUMPUR 24 Mac - Sime Darby Plantation Bhd. bersedia melaksanakan gaji minimum RM1,500 sebulan mulai 1 Mei ini yang akan memanfaatkan kesemua pekerjanya di seluruh negara.
Syarikat perladangan itu yang kini mempunyai lebih 24,000 pekerja ladang juga akan melaksanakan program insentif tambahan bagi menggalakkan peningkatan produktiviti dalam kalangan tenaga kerja bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan.
Pelaksanaan gaji minimum baharu ini memerlukan penyusunan semula kadar setiap jam/harian dan semakan penanda aras sebelumnya untuk pengiraan gaji secara menyeluruh, yang akan memberi manfaat kepada semua pekerja.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, bermula 1 Mac 2020, kumpulan telah menyelaraskan gaji minimum kepada RM1,200 sebulan bagi pekerja di Malaysia tanpa mengambil kira lokasi.
"Kami memutuskan untuk menyelaraskan kadar gaji minimum semasa kepada RM1,200 sebulan merentasi operasi di Malaysia dan berusaha ke arah pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan.
"Selain itu, kami juga membuat keputusan untuk meningkatkan insentif produktiviti bagi memastikan pekerja Sime Darby Plantation menikmati pampasan yang baik dan diberi ganjaran untuk produktiviti mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelarasan kadar gaji yang dilaksanakan kumpulan kali terakhir adalah pada Mei 2020, berikutan keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum pekerja di kawasan majlis perbandaran kepada RM1,200 sebulan dan RM1,100 bagi mereka di kawasan bukan majlis perbandaran.
Lebih daripada 16,000 pekerja di kawasan dalam atau bersebelahan dengan Majlis Bandaraya atau Perbandaran mendapat manfaat daripada pelarasan itu.
Selain insentif gaji dan produktiviti, pekerja ladang Sime Darby Plantation juga menikmati beberapa manfaat percuma dan subsidi yang disediakan pihak syarikat.
Ini termasuklah perumahan percuma untuk mereka dan tanggungan mereka, utiliti bersubsidi, rawatan perubatan percuma untuk pekerja dan tanggungan terdekat serta pelbagai kemudahan seperti pengangkutan bas sekolah untuk anak pekerja, pusat jagaan kanak-kanak dan kemudahan rekreasi.
Mohamad Helmy berkata, sejak pandemik COVID-19, Sime Darby Plantation secara aktif melatih rakyat Malaysia untuk mengambil pelbagai peluang pekerjaan yang tersedia dalam operasinya.
"Syarikat juga menyediakan latihan yang relevan untuk semua pekerja baharu dan menawarkan peluang untuk peningkatan kerjaya bagi mereka yang berminat," jelasnya. - DagangNews.com