Sime Darby Plantation laksana perubahan tadbir urus, operasi | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation laksana perubahan tadbir urus, operasi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Feb - Sime Darby Plantation Bhd. (SDP) melaksanakan beberapa perubahan dan menambah baik struktur tadbir urus, dasar dan prosedur bagi memastikan kesejahteraan pekerja buruh sentiasa terpelihara.  

 

Syarikat gergasi perladangan ini akan membayar balik yuran pengambilan kepada pekerja asing semasanya pada 17 Februari 2022 selain mewujudkan Prosedur Pengambilan Bertanggungjawab (RRP) yang ditambah baik dan melaksanakan proses baharu untuk membolehkan dialog yang lebih baik dengan pekerja.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, sejak dikenakan perintah tahan pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) pada Disember 2020, kumpulan telah menjalankan audit secara komprehensif sama ada secara dalaman ataupun organisasi bebas. 

 

Tetapi, katanya, audit tersebut tertangguh ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan selama beberapa bulan sepanjang tahun lalu, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

"Namun, lembaga pengarah dan pengurusan membuat keputusan bahawa kami akan menghadapi cabaran ini secara berterusan. 

 

"Setiap jurang yang kami temui telah atau sedang ditutup, setiap kelemahan dalam tadbir urus sedang atau telah ditangani, sebarang penambahbaikan yang diperlukan telah atau sedang dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Antara penambahbaikan itu termasuklah pembayaran balik berjumlah RM38.55 juta kepada 15,078 pekerja asing semasa di samping mewujudkan dana berjumlah RM43.47 juta untuk bayaran balik kepada 19,565 bekas pekerja buruh. Kesemua bayaran balik ini akan dilunaskan dalam bayaran tunggal sekali sahaja kepada pekerja terbabit.

 

Di samping itu, pada Ogos 2021, SDP melancarkan RRP yang disemak semula dan memutuskan untuk menumpukan pada mulanya untuk merintis prosedur baharu dalam aktiviti pengambilan pekerja Indonesia pada masa akan datang.

 

Kumpulan menubuhkan jawatankuasa pengurusan khusus untuk menguruskan projek perintis RRP Indonesia dan terlibat selama beberapa bulan dalam menyenarai pendek 8 agensi pengambilan pekerja di negara tersebut bagi melaksanakan proses usaha wajar dan audit menerusi tender terbuka. 

 

SDP akan memastikan mana-mana ejen pengambilan pekerja yang tidak mematuhi etika dan piawaian akan ditamatkan kontrak bagi mengelakkan mereka terus bekerja dengan kumpulan lagi.

 

Bagi memastikan kesemua penambahbaikan dan inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan adalah mampan, lembaga pengarah meluluskan kad skor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang menyamai kad skor untuk operasi. 

 

Skor ini dibentuk bagi memastikan hala tuju yang jelas, dipantau dan dilaksanakan merentasi struktur organisasi huluan di Malaysia.

 

Selain itu, SDP turut menubuhkan Jabatan Kebajikan Sosial dan Perkhidmatan (SWS) yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan dasar dan prosedur berkaitan kesejahteraan dan keselamatan pekerja, memastikan operasi huluan harian mematuhi amalan terbaik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. - DagangNews.com