Sime Darby Property capai 70% jualan rumah The Eights di Bandar Elmina | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property capai 70% jualan rumah The Eights di Bandar Elmina

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei - Vila berkembar Sime Darby Property Bhd, The Eight di Bandar Elmina telah terjual lebih 70% sejak pratonton pada April 2023.

 

168 unit rumah mewah itu dijual pada harga bermula RM1.67 juta dengan keluasan tanah 40 kaki kali 80 kaki, menampilkan 4+1 bilik tidur dan  lima bilik mandi.

 

The Eighth mempunyai tiga susun atur dipacu gaya hidup tersendiri iaitu The Minimalist (3,034 kaki persegi), The Connoisseur (3,069 kaki persegi) dan The Classic (3,239 kaki persegi).

 

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata kumpulan itu gembira dengan minat pembeli rumah terhadap The Eighth dan mengaitkan kejayaannya dengan kepercayaan pelanggan terhadap jenama itu serta sejarah lima dekad mereka yang membuka jalan untuk kehidupan masa depan dan pemilikan rumah.

 

“Kami yakin The Eighth akan meningkatkan profil perbandaran Bandar Elmina dan memberikannya lembaran baharu yang menarik dalam sejarahnya,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

Datuk Lai Shu We
Datuk Lai Shu We

 

 

Di semua kediaman The Eighth, setiap rumah disediakan dengan taman belakang dan sisi sendiri, anjung lebar yang boleh memuatkan sehingga tiga kereta, lantai kayu serta penebat batu, antara lain.

 

Sime Darby Property juga memastikan perpindahan tanpa kerumitan untuk pembelinya dengan pakej FittingsPlus+ yang merangkumi penapis air luar rumah, punca kuasa penyaman udara, pemanas air menggunakan tenaga solar dan pam penggalak.

 

Penduduk juga boleh memanfaatkan alam semula jadi bandar memandangkan The Eighth berdekatan dengan beberapa taman iaitu empat Radiance Parks, yang kesemuanya mempunyai pelbagai kemudahan untuk aktiviti keluarga termasuk zon glamping, gelanggang badminton dan futsal, kawasan permainan kanak-kanak dan stesen senaman.

 

Bandar Elmina merupakan sebuah perbandaran seluas 5,000 hektar yang terletak di Shah Alam dan boleh diakses melalui Guthrie Corridor Expressway (GCE), Kuala Lumpur-Kuala Selangor Express (LATAR), North-South Expressway Central Link (ELITE), New Klang Valley Expressway (NKVE) dan Damansara-Puchong Expressway (LDP). -DagangNews.com