Singapura buka kedutaan di Tel Aviv, Israel | DagangNews Skip to main content

Singapura buka kedutaan di Tel Aviv, Israel

kedutaan itu akan menjadi pusat tumpuan dan menyokong syarikat Singapura yang ingin mengembangkan kerjasama dengan syarikat Israel.
Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA 22 Mac - Singapura akan menubuhkan pejabat kedutaan di Tel Aviv, Israel, untuk mengukuhkan perkongsian inovasi antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Luar Negeri (MFA) republik itu.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini lewat Isnin, MFA berkata kedutaan itu akan menjadi pusat tumpuan dan menyokong syarikat Singapura yang ingin mengembangkan kerjasama mereka dengan rakan kongsi Israel yang berpotensi.

 

MFA berkata Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan yang kini berada di Israel menekankan bahawa kedua-dua negara harus memperdalam kerjasama di kawasan baru muncul, menurut Bernama.

 

Antaranya ialah teknologi pertanian makanan, teknologi kesihatan, kecerdasan buatan (AI), dan pendigitalan, ketika dunia memulih daripada pandemik COVID-19.

 

Kelmarin, Singapura telah menyatakan hasratnya untuk menubuhkan pejabat perwakilan di Ramallah bagi memudahkan penyelarasan yang lebih rapat dengan Pihak Berkuasa Palestin akan melaksanakan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) S$10 juta untuk rakyat Palestin.

 

Pejabat perwakilan itu akan menyelaraskan bantuan teknikalnya dan menyokong kerja Wakil Bukan Pemastautin Singapura kepada Pihak Berkuasa.


 

Dr Vivian Balakrishnan
Dr Vivian Balakrishnan bersama Perdana Menteri Palestin Dr Mohammad Shtayyeh ketika lawatannya ke Ramallah pada 20 Mac 2022. - Gambar MFA Singapura

 


Hasrat itu disampaikan oleh Balakrishnan semasa di Ramallah dan disambut oleh rakan sejawatannya Dr Riyad Al-Malki. - DagangNews.com