Singapura lonjak status sebagai kuasa maritim serantau dengan pemilikan kapal selam baharu  | DagangNews Skip to main content

Singapura lonjak status sebagai kuasa maritim serantau dengan pemilikan kapal selam baharu 

Type 218SG mempamerkan kebolehan jurutera Singapura membangunkan teknologi kapal selam.
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

PENYERAHAN dua kapal selam terbaru Singapura di Kiel, Jerman kelmarin terus mengukuhkan status republik itu sebagai negara kuasa maritim di rantau ini.

 

Sebagai negara perdagangan utama, penerimaan kapal selam konvensional paling moden di dunia ini, Type 218SG sangat penting bagi menonjolkan imej Singapura sebagai negara selamat.

 

Kapal selam Type 218SG ini bakal menggantikan empat kapal selam sedia ada Tentera Laut Republik Singapura (RSN) iaitu kelas Challenger dan Archer yang telah dioperasikan sejak 20 tahun lalu.

 

RSS Impeccable dan RSS Illustrious bukan sahaja memperkasakan keupayaan RSN, malah menjadi penanda aras baharu dalam pemilikan teknologi kapal selam moden.

 

Majlis perasmian kapal selam ini dihadiri oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan Kaunselor Jerman, Olaf Scholz.


 

singapo
Lee Hsien Loong (dua dari kiri) bersama isterinya, Ho Ching dan Olaf Scholz (kanan) melancarkan kapal selam terbaharu Singapura di Limbungan ThyssenKrupp Marine Systems di Kiel, Jerman, pada 13 Disember 2022.

 


Dalam ucapannya, Hsien Loong menjelaskan pentingnya kapal selam dalam membantu Singapura sebagai negara yang bergantung pada perdagangan maritim.

 

Jelas beliau, dengan adanya kekuatan pertahanan maritim dapat mengekalkan Singapura sebagai laluan perairan yang selamat dan bebas membuka jalur lautnya bagi pergerakan ekonomi.

 

Penyerahan dua selam ini sepatutnya dilakukan tahun lalu tetapi tertangguh disebabkan pandemik COVID-19.

 

RSS Impeccable dan RSS Illustrious merupakan kapal selam kedua dan ketiga daripada kelas sama yang mana kapal selam pertama, RSS Invincible ditauliahkan pada Februari 2019.

 

Kapal selam keempat yang diberi nama Inimitable pula sedang dalam pembinaan.

 

Type 218SG dibina oleh firma Jerman, ThyssenKrupp Marine Systems namun rekaannya dibangunkan oleh jurutera Singapura agar ia mempunyai ciri-ciri khusus serta sesuai dikendalikan kru tempatan.


 

singapo

 


Kapal selam konvensional berkuasa diesel elektrik dengan teknologi mutakhir ini mampu beroperasi sehingga enam minggu di laut atau 50 peratus lebih baik berbanding kapal selam jenis sama.

 

Ia mempunyai sistem Air Independent Propulsion (AIP) bagi membolehkan kapal selam berada lebih lama di bawah permukaan serta lebih senyap.

 

Dengan berat 2,200 tan, panjang 70 meter bersama 28 kru, kapal selam ini boleh belayar pada kelajuan 15 knot semasa di permukaan dan 10 knot (bawah permukaan).

 

Selain dilengkapi persenjataan heavy weight torpedo, ia boleh melancarkan peluru berpandu antikapal dan periuk api.


 

singapo

 


Singapura yang memiliki armada kapal selam sejak 1995 bermula dengan empat buat aset terpakai iaitu kapal selam kelas Sjoormen bekas kepunyaan tentera Sweden.

 

Bermula tempoh itu, ia mula mengorak langkah untuk membangunkan teknologi kapal selam sendiri.

 

Kini, ThyssenKrupp Marine System memeterai kerjasama dengan firma Singapura, ST Engineering bagi melanjutkan kerjasama kedua-dua pihak dalam program seterusnya.

 

Ia melibatkan aspek senggaraan dan sokongan sepanjang tempoh empat kapal selam berkenaan dioperasikan nanti.

 

Sepertimana Singapura, mengoperasikan kapal selam Scorpene misalnya telah meletakkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kelas tersendiri kerana tidak semua angkatan laut negara-negara di dunia mampu memiliki aset sebegini.


 

scorpene

 


Bukan sahaja kerana kos yang tinggi, tetapi pengoperasian kapal selam berbeza dengan kapal permukaan khususnya soal teknologi serta kemahiran tinggi kru untuk mengendalikan ‘pemusnah senyap’ ini.

 

Jika melihat pada Pelan Transformasi 15-to-5, TLDM merancang untuk menambah jumlah kapal selam kepada dua menjadikan empat buah kesemuanya.

 

Angka yang realistik untuk negara dengan kawasan perairan yang luas seperti Malaysia.

 

Ini kerana Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM disusun untuk mengemaskini kekuatan serta keupayaan armada. 

 

Matlamat utama pelan ini adalah untuk membentuk satu ketumbukan armada yang tersusun dan ampuh.

 

Pada masa sama, isu di Laut China Selatan terus membayangi berikutan tindakan kapal penyelidik dan kapal-kapal pengawal pantai China yang berada dekat dengan perairan negara sejak bulan lalu.

 

Tindakan China yang menuntut keseluruhan kawasan di perairan tersebut khususnya kawasan di Kepulauan Spratly bukanlah baharu. 


 

spratly

 


Selain China, kepulauan ini menjadi perebutan Taiwan dengan empat anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Vietnam dan Filipina.

 

China paling lantang dan berani dalam isu pertindihan tuntutan kerana menuntut keseluruhan wilayah maritim merangkumi Kepulauan Paracel, Kepulauan Spratly, Tebing Macclesfied dan Terumbu Scarborough

 

Tindakan China pula melanggar Deklarasi Kod Tatacara Laut China Selatan (DOC) yang dipersetujui negara itu bersama dengan negara anggota ASEAN apabila terus membuat binaan di wilayah berkenaan.


 

china

 


Mengambil kira faktor geopolitik dan geograstrategik semasa ini, TLDM sentiasa optimis untuk mempertingkatkan pengukuhkan kedaulatan maritim negara dalam menangani cabaran terutama di Laut China Selatan selain sebagai persediaan menghadapi ancaman-ancaman lain.

 

TLDM merupakan sebuah armada bersaiz sederhana yang masih memerlukan suntikan pemodenan. - DagangNews.com