KUALA LUMPUR 2@ Nov - Singapura mula melaksanakan proses awal untuk menerima pesawat tempur paling moden di dunia, F-35 Joint Strike Fighter (JSF) apabila meninjau kemudahan syarikat tersebut di Amerika Syarikat (AS).
Kumpulan juruterbang Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) ini melawat kemudahan F-35 Lockheed Martin di Fort Worth, Texas.
Sebahagian daripada lawatan itu melibatkan perbincangan profesional mengenai F-35 Joint Strike Fighter (JSF).
Antaranya tentang bagaimana memanfaatkan keupayaan canggih F-35 dengan lebih baik, aspek keperluan kejuruteraan dan penyelenggaraan.
Semasa dalam lawatan ini, pasukan RSAF juga mengendalikan simulator F-35 JSF bagi membiasakan diri dengan keupayaan utama pesawat F-35B yang bakal diterima Singapura.
Ini termasuk keupayaan pendaratan secara senyap, berlepas daripada landasan pendek dan secara menegak serta mengendalikan suite sensor canggihnya.
Pendedahan awal ini penting dalam membantu juruterbang RSAF menentukan kebolehoperasian dan keperluan pesawat F-35B diintegrasikan dengan seluruh sistem pertahanan yang ada.
Ini merupakan cara terbaik untuk mengoptimumkan potensi pesawat sekali gus meningkatkan kelebihan operasi RSAF.
RSAF akan menggantikan 60 pesawat tempur F-16 Fighting Falcon buatan Lockheed Martin dengan F-35B menjelang awal tahun 2030.
Ketika ini pesawat F-16 menjadi tunjang utama pertahanan udara Singapura dengan kekuatan tiga buah skuadron dan detasmen latihan.
Mengikut perancangan, RSAF akan memindahkan detasmen latihannya di Arizona ke Fort Smith, Arkansas menjadi detasmen latihan F-35B apabila penghantaran bermula pada 2026.
Washington tiga tahun lalu meluluskan penjualan 12 buah pesawat tempur tercanggih, F-35B kepada Singapura menjadikannya sebagai negara Asia Tenggara pertama memiliki pesawat tersebut.
Perolehan pertama melibatkan empat buah pesawat manakala lapan buah dibuat pada pembelian seterusnya.
Setiap pesawat dianggarkan berharga S$160 juta (RM530.38 juta) menjadikannya sebagai perolehan kelengkapan pertahanan moden termahal bagi negara itu.
Keseluruhannya perolehan pesawat ini melibatkan peruntukan besar iaitu kira-kira AS$2.75 bilion (RM11 bilion).
Turut diluluskan ialah 250 unit kit bom panduan laser Paveway II.
RSAF juga sedang menaik taraf pesawat-pesawat F-16C/D Blok 52 termasuk membolehkan pesawat melancarkan peluru berpandu JDAM dan AIM-9X selain meningkatkan sistem radar dan avionik.
Negara jiran Thailand juga berhasrat untuk mendapatkan pesawat F-35A, malangnya permintaan itu ditolak Washington kerana kebimbangan bahawa ia tidak mampu untuk mengendalikan pesawat canggih itu.
Thailand bercadang membeli sekurang-kurangnya dua buah pesawat F-35A sebagai fasa awal memodenkan keupayaan udaranya menggantikan sejumlah pesawat usang.- DagangNews.com