Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Pharmaniaga Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.13.
Pharmaniaga pada Jumaat lalu menawarkan untuk membekalkan vaksin Sinovac kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai dos penggalak.
Malah, kumpulan juga berada di peringkat akhir rundingan untuk mendaftarkan vaksin tersebut sebagai dos penggalak dengan Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) dan dijangka diluluskan tidak lama lagi.
Penganalisis HLIB, Sophie Chua Siu Li percaya langkah itu akan meningkatkan minat belian terhadap saham Pharmaniaga meskipun tidak dinyatakan secara terperinci mengenai jumlah dos akan dibekalkan kepada KKM kali ini.
Setakat ini, katanya, Pharmaniaga telah membekalkan lebih daripada 22 juta dos vaksin Sinovac kepada KKM dan sektor swasta, justeru, terdapat kira-kira 11 juta individu yang layak untuk mendapatkan dos penggalak.
"Berdasarkan kiraan kami, dengan membekalkan 11 juta dos kepada KKM akan menambah kira-kira RM12 juta di peringkat pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT).
"Ini berdasarkan kepada anggaran harga belian sebanyak AS$11 (RM44) bagi satu dos dan margin EBIT sebanyak 2.5% (purata 3 tahun) bagi segmen logistik dan pengedaran Pharmaniaga," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, ia tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan kumpulan sementara menanti perkembangan selanjutnya.
Firma itu melihat Pharmaniaga dalam kedudukan yang baik terutama didorong oleh vaksinasi remaja di Malaysia dan potensi penggunaan Sinovac sebagai dos penggalak.
"Selain itu, Sinovac juga berpotensi digunakan untuk vaksinasi kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun serta dieksport ke negara-negara lain," tambahnya. - DagangNews.com