Sinovac : Pharmaniaga meterai perjanjian dengan kerajaan | DagangNews Skip to main content

Sinovac : Pharmaniaga meterai perjanjian dengan kerajaan

 

 


KUALA LUMPUR 22 Mac - Pharmaniaga Bhd. memeterai perjanjian dengan kerajaan bagi membekalkan dan mengedar 200,000 dos vaksin COVID-19, Sinovac sebagai produk siap. 

 

Perjanjian itu ditandatangani menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS) dan kerajaan, Kementerian Kesihatan (MoH).

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Pharmaniaga berkata, menerusi perjanjian di bawah pembekalan dan pengedaran itu, PLS dan MoH akan membeli produk siap import dari PLS manakala PLS pula akan mengedarkan 200,000 dos untuk semua kemudahan yang ditentukan MoH. 

 

"Produk siap yang diimport dijamin kelulusan bersyarat Produk Farmaseutikal Ketika Bencana oleh Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan pada 2 Mac 2021," katanya hari ini. 

 

Bagaimanapun, Pharmaniaga tidak menyatakan nilai perjanjian itu yang bermula 17 Mac lalu.

 

Pada Isnin lalu, Pharmaniaga mengumumkan telah memeterai perjanjian asing bekalan dan pengedaran dengan kerajaan untuk mengedarkan 12 juta vaksin Sinovac, yang akan dikeluarkan oleh Pharmaniaga di sini. - DagangNews.com