Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Dis. - Acer Malaysia mengumumkan pra-tempahan rangkaian komputer riba dan tablet baharu yang tahan lasak iaitu siri Enduro.
Acer berkata, siri Acer Enduro terdiri daripada peranti berkuasa yang tahan lasak dan memberi prestasi stabil dalam apa jua situasi.
Komputer Riba Tahan Lasak Acer Enduro N3
Acer Enduro N3 dibina untuk memberi keseimbangan antara ketahanan dan kemudahan untuk dibawa ke mana-mana.
Siri berkenaan juga cukup unggul bagi pengguna yang sering berada di tempat kerja berbeza seperti arkitek,
jurutera, pemeriksa projek, pengurus acara, pekerja ladang atau mereka yang gemar merakam aksi ketika berada di luar rumah.
"Dengan keupayaan MIL-STD 810G dan IP53, Acer Enduro N3 merupakan komputer riba lasak bersaiz 14 inci yang paling ringan setebal 24.85mm dan berat 1.985kg.
"Ia tampil dengan bahagian sudut yang diperkukuhkan sekira terjatuh dan kaca Corning® Gorilla® untuk melindungi paparan daripada air sementara dengan ciri uniknya, iaitu Aquafan™ yang berfungsi untuk menghalang air," jelas Acer dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Acer, siri tersebut juga mempunyai lubang saluran air pada papan kekunci dan port I/O dengan meterai membolehkan Acer Enduro N3 kekal kering dan boleh berfungsi seperti biasa walaupun terdedah kepada air.
Acer Enduro N3 memiliki jangka hayat bateri selama 13 jam yang menjadikannya sebagai satu peranti yang terbaik di tempat kerja, terutamanya di kawasan yang sukar mendapat bekalan elektrik.
Siri berkenaan yang sudah boleh ditempah menerusi laman web Acer itu hadir dalam dua varian iaitu varian yang dikuasakan oleh Intel® Core i7 Generasi ke-10 dengan memori dalaman 8GB dan 256GB PCIE NVMe SSD yang ditawarkan pada harga RM5,699.
Sementara varian kedua dikuasakan dengan Intel® Core i5 Generai ke-10 bersama 256GB PCIE NVMe SSD yang berharga RM4,699.
Tablet Tahan Lasak Acer Enduro T1
Tablet Acer Enduro T1 ideal untuk kegunaan persekitaran perniagaan runcit dan gudang oleh pekerja industri yang boleh dipadankan dengan papan kekunci portfolio pilihan.
Dengan keupayaan MIL-STD 810G dan IP54, Acer Enduro T1 dikuasakan oleh pemproses Intel Celeron atau MediaTek MT8385 bersama storan eMMC 64GB untuk menjadikannya satu peranti pilihan yang boleh diharap serta mudah bagi menyelesaikan tugasan dengan segera.
Acer berkata, bagi membolehkannya berfungsi sepanjang waktu bekerja tanpa perlu dicaj, Acer Enduro T1 didatangkan dengan jangka hayat bateri sepanjang 10 jam.
Tablet berkenaan boleh ditempah menerusi laman web rasmi Acer, Acer Enduro T1 yang ditawarkan pada harga bermula RM1,599. - DagangNews.com