SIRIM bangunkan pusat teknologi canggih untuk PKS | DagangNews Skip to main content

SIRIM bangunkan pusat teknologi canggih untuk PKS

teknologi

KUALA LUMPUR 15 Julai – SIRIM Berhad terus mengorak langkah dengan penubuhan pusat pengalaman pembuatan pintar sebagai destinasi utama bagi industri berteknologi tinggi.

Pusat tersebut membenarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menguji, belajar dan memahami teknologi atau platform berkaitan seiring kemajuan era Industri Revolusi Keempat (IR4).

Pusat pengalaman pembuatan pintar akan dibangunkan dengan kerjasama syarikat antarabangsa terkemuka seperti Hitachi, Bosch Rexroth dan Huawei sekali gus mengenalpasti kaedah teknologi maklumat yang sesuai dan berpatutan bagi PKS di negara ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, pusat itu juga akan membenarkan bakat tempatan untuk mengembangkan kaedah serta teknologi yang dapat menyelesaikan masalah dalam proses pengeluaran atau tenaga kerja mereka.

“Menerusi kerjasama rapat dengan industri dan pemahaman terhadap teknologi IR4, SIRIM dapat menyumbang idea dan konsep baharu yang lebih cekap serta produktif melalui adaptasi platform dan teknologi relevan.

“Ini termasuklah percetakan 3D atau pembuatan bahan tambahan, Augmented Reality (realiti maya), Pemeriksaan Optik Automatik dan Robot Kolaboratif (COBOT) untuk diperkenalkan kepada pemain industri tempatan terutamanya PKS,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain bertindak sebagai pusat destinasi teknologi canggih, pusat yang dibangunkan SIRIM itu akan menyediakan platform ‘test bed’ bagi uji kaji syarikat untuk mendapatkan data sendiri.

Melihat kepada sikap tunggu dan lihat dahulu dalam kalangan syarikat di negara ini, SIRIM berharap lebih ramai bakat termasuk saintis dan jurutera SIRIM untuk lebih proaktif dan menjadi pendorong kepada perubahan menerusi perkongsian idea, konsep, standard dan teknologi baharu.

“SIRIM mempunyai program dan inisiatif yang ada peruntukan bagi memudahkan pemulihan ekonomi seperti program SIRIM-Fraunhofer,” tambah beliau.

Seiring perubahan ke arah kebiasaan baharu selepas COVID-19, SIRIM akan memperkenalkan modus digital baharu sebagai persediaan buat pengeluar dan industri di Malaysia. – DagangNews.com