Sirim guna toleransi sifar cegah rasuah dan penyelewengan | DagangNews Skip to main content

Sirim guna toleransi sifar cegah rasuah dan penyelewengan

SIRIM

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Organisasi teknologi perindustrian dan kualiti utama, Sirim Berhad (Sirim) menggunakan pendekatan toleransi sifar terhadap semua bentuk rasuah dan penyelewengan dalam semua urusan dan hubungan perniagaannya.

Kumpulan itu memulakan pelaksanaan audit verifikasi sebagai persediaan untuk diperakui di bawah Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) berdasarkan standard MS ISO 37001: 2016.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, Lembaga Pengarah dan pengurusan Sirim komited untuk melaksanakan dan menguatkuasakan dasar dan prosedur yang berkesan di seluruh Sirim untuk pencegahan, pemantauan dan penghapusan segala bentuk amalan rasuah dan penyelewengan.

"Dengan melaksanakan dan mendapatkan pensijilan ABMS daripada badan pensijilan pihak ketiga (CB), itu membuktikan bahawa Sirim telah menerapkan prosedur yang memadai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Audit verifikasi selama dua minggu itu bermula pada 4 hingga 18 November 2020.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Sirim telah menetapkan prosedur yang memadai berdasarkan prinsip T.R.U.S.T untuk mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap amalan rasuah yang berkaitan dengan perniagaannya.

 

Ahmad Fadzil Mohamad Hani
Ahmad Fadzil Mohamad Hani 

 

Prinsip-prinsip T.R.U.S.T didasarkan pada komitmen pengurusan tinggi, penaksiran risiko, menjalankan langkah kawalan, tinjauan sistematik, pemantauan dan penguatkuasaan serta latihan dan komunikasi.

Jelasnya, pada masa kini hanya Sirim QAS International yang menjadi satu-satunya CB yang diiktiraf untuk ABMS di Malaysia.

"Namun, oleh kerana Sirim QAS International adalah anak syarikat kami, maka tidak wajar untuk ia mengesahkan Sirim. Ini untuk memastikan kebebasan pensijilan. Audit verifikasi ABMS oleh Sirim QAS International akan mempersiapkan Sirim untuk audit oleh Badan Pensijilan pihak ketiga tahun depan,” tambahnya.

Sistem Pengurusan Antirasuah ISO 37001 (ABMS) direka untuk membantu syarikat mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap kejadian rasuah. 

Standard itu juga meliputi pematuhan terhadap undang-undang, peraturan dan komitmen sukarela lain.

Pensijilan tersebut merangkumi keperluan dan panduan untuk mewujudkan, melaksanakan, memelihara dan memperbaiki sistem pengurusan antirasuah. 

Perkara berkenaan adalah standard universal yang boleh digunakan oleh organisasi daripada pelbagai saiz atau sektor, sama ada secara bebas atau disepadukan ke dalam sistem pengurusan kualiti sedia ada. - DagangNews.com