SIRIM sedia bantu pembangunan vaksin tempatan | DagangNews Skip to main content

SIRIM sedia bantu pembangunan vaksin tempatan

SHAH ALAM 31 Julai – SIRIM bersedia memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada pembangunan vaksin tempatan agar mematuhi piawai antarabangsa bagi keselamatan, keberkesanan dan proses pembuatan.

 

Agensi teknologi dan penyelidikan perindustrian di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu telah mengadakan perbincangan dengan Institut Kajian Perubatan (IMR) untuk turut sama menyumbang dalam pembangunan vaksin tersebut di peringkat pra-klinikal sebelum ujian klinikal dan peringkat penghasilan vaksin pada skala pilot.

 

Sebelum ini, SIRIM telah melaksanakan pelbagai peringkat ujian ke atas vaksin Sinovac untuk mengesahkan proses serta memastikan produk akhir vaksin Sinovac adalah selamat dan berkesan kepada penerima.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, ujian ke atas vaksin Sinovac yang diamanahkan kepada SIRIM melibatkan keperluan fasiliti yang lengkap dan makmal berstatus Amalan Makmal Baik (GLP).

 

“Sebelum dilantik oleh Pharmaniaga untuk menjalankan ujian berkenaan, SIRIM telah meneliti semua keupayaan dan cara pengurusan makmal di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian, SIRIM (IBRC) yang memenuhi kriteria makmal ujian yang diperlukan oleh badan pengawalselia iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

 

Ahmad Sabirin berkata, SIRIM menghasilkan data sokongan untuk proses pengesahan dan pemeriksaan kualiti untuk kumpulan vaksin fill and finish, manakala NPRA memeriksa data tersebut secara terperinci sebelum membuat keputusan untuk meluluskan vaksin ataupun tidak.

 

Bagi ujian ketoksikan, SIRIM menjalankan ujian Abnormal Toxicity di mana kumpulan vaksin yang telah di fill and finish mengikut kumpulan kestabilan tertentu, manakala untuk pengujian keberkesanan - Ujian Immunoassay Relative Potency dijalankan, di mana vaksin secara pukal yang diterima bersama vaksin rujukan (reference vaccine), katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Program Vaksinasi Pandu Lalu SIRIM-SelVAX, yang dibuat untuk 120 anggota kerja di bawah Program Vaksin Selangor (SelVAX). Turut hadir, Pengerusi SIRIM Berhad, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.


 

Sirim
Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali ( tiga dari kiri) sedang melihat anggota kerja SIRIM menerima vaksin pada Program Vaksinasi Pandu Lalu SIRIM-SelVAX di Ibu Pejabat SIRIM, Shah Alam, pada 31 Julai 2021, sambil disaksikan oleh Dr Ahmad Sabirin Arshad (dua dari kanan) dan Noor Hisham Mohd Ghouth.

 

Menurut Ahmad Tajuddin, matlamat SIRIM menganjurkan program ini adalah bagi memastikan kesemua anggota kerja SIRIM selamat untuk keluar bekerja. Pada masa ini, pejabat SIRIM di Sabah dan anak syarikat SIRIM iaitu National Precision Tooling Sdn Bhd telah berjaya melengkapkan vaksinasi anggota kerjanya pada bulan ini.

 

“Program pandu lalu ini bertujuan mempercepatkan proses vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok,” katanya pada program vaksinasi yang berlangsung selama sehari di Ibu Pejabat SIRIM di sini yang dikendalikan oleh Selgate Healthcare Sdn Bhd, di bawah program SelVAX.

 

“Pemvaksinan secara pandu lalu ini adalah yang pertama menerusi program SelVAX. Terima kasih kepada pihak SIRIM kerana telah memulakan langkah atas kerjasama ini. Semoga usaha kerajaan negeri untuk memastikan imuniti berkelompok dicapai secepat mungkin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, SELGATE Corporation, Noor Hisham Mohd Ghouth.

 

SELGATE Healthcare Sdn Bhd (SELGATE), dimandatkan untuk melaksanakan SelVAX bagi menyokong usaha Program Imunisasi Kebagsaan COVID-19, Program SelVAX yang telah diperkenalkan pada 26 Jun 2021 menyasarkan 1,000,000 pekerja di Selangor menerima vaksin. – DagangNews.com