SIRIM tubuhkan Majlis Penasihat Antarabangsa, kenal pasti hala tuju penyelidikan masa depan | DagangNews Skip to main content

SIRIM tubuhkan Majlis Penasihat Antarabangsa, kenal pasti hala tuju penyelidikan masa depan

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad (atas, kiri) ketika berucap pada mesyuarat Majlis Penasihat Penyelidikan Perindustrian SIRIM (IRAC) secara dalam talian, semalam.

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Bagi memastikan keberkesanan dalam menyokong agenda dan pembangunan teknologi perindustrian di negara ini, Penyelidikan Perindustrian SIRIM (SIRIM IR), bahagian penyelidikan SIRIM Berhad, akan menubuhkan Majlis Penasihat Antarabangsa.

 

Anggota majlis penasihat itu akan dibarisi peneraju industri dari negara-negara Eropah, Asia Pasifik dan Asia Barat.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad mengumumkan tentang penubuhan majlis penasihat itu pada mesyuarat Majlis Penasihat Penyelidikan Perindustrian SIRIM (IRAC) secara dalam talian, semalam.

 

“Bagi meningkatkan lagi daya saing dan produktiviti industri, SIRIM juga akan menubuhkan sebuah majlis penasihat yang berasaskan kepada Teknologi Hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Teknologi hadapan berkenaan termasuklah kecerdasan buatan (AI) hinggalah kepada robotik, pengkomputeran kuantum, bioteknologi, Internet of Things, nanoteknologi dan teknologi tanpa wayar.

 

Ahmad Sabirin berkata, SIRIM juga menyelaraskan aktiviti penyelidikannya sejajar dengan Dasar 4IR Negara yang baru dilancarkan bertujuan membawa transformasi kepada Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh teknologi dan pendigitalan 4IR termaju.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad

 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan SIRIM, Mohd Azanuddin Salleh berkata, Pusat Perindustrian Pembuatan Pintar di bawah SIRIM IR telah menyediakan pembangunan kapasiti dalam bidang teknologi berkaitan sejak 2020, bagi membangunkan kemahiran dan keupayaan teknologi dalam Pembuatan Bahan Tambah.

 

“SIRIM IR dan satu lagi anak syarikat, SIRIM STS akan terus menyokong organisasi awam dan swasta bagi meningkatkan daya saing dalam 5 teknologi asas 4IR iaitu kecerdasan buatan, Internet Segala-galanya (IoT), blockchain, pengkomputeran awan, Analisis Data Raya dan bahan dan teknologi termaju,” katanya.

 

Menurutnya, SIRIM juga berperanan penting dalam menyediakan jaminan kepada negara dalam memastikan vaksin menepati standard antarabangsa bagi keselamatan, keberkesanan dan pembuatan.

 

Mohd Azanuddin berkata, dalam menyokong industri farmaseutikal dan peranti perubatan agar menepati peraturan yang ditetapkan, Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian SIRIM sedang menuju ke arah program pembangunan vaksin.

 

Ketika ini, ia telah melaksanakan pelbagai tahap pengujian untuk memastikan keselamatan Vaksin Sinovac seperti ujian keselamatan iaitu Ujian Ketoksikan Abnormal dan Immunocerakin (kemujaraban relatif).

 

Majlis Penasihat Penyelidikan Perindustrian SIRIM ditubuhkan pada 2018 terdiri daripada 10 anggota dari kementerian, industri dan persatuan industri.

 

Ini termasuklah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi,dan Kementerian Kesihatan manakala wakil industri dan persatuan industri pula ialah Suruhanjaya Tenaga, Persekutuan Pengilang Malaysia, Hitachi Asia (Malaysia), Microsoft Malaysia, Petronas, Sina-Sterilgamma dan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia. - DagangNews.com