Sisma Auto buka Pusat 3S Volvo utama bernilai RM30 juta di Sungai Besi | DagangNews Skip to main content

Sisma Auto buka Pusat 3S Volvo utama bernilai RM30 juta di Sungai Besi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - Kumpulan automotif premium pelbagai jenama, Sisma Auto melabur sejumlah RM30 juta bagi pembukaan pusat 3S Volvo utama yang baharu di Sungai Besi.

 

Pusat dikenali Volvo Sisma Auto Sungai Besi itu terletak di Wisma Sisma Auto, bangunan empat tingkat seluas 55,000 kaki persegi.

 

Kemudahan itu juga menempatkan bilik pameran Volvo terbesar di Malaysia yang mampu memuatkan sehingga 16 kereta baharu dan kereta terpakai Selekt.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sisma Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim berkata, pusat baharu itu memperlihatkan pengembangan perniagaan Volvo dan membuktikan keyakinannya terhadap masa depan jenama itu di Malaysia.

 

sisma

 

“Lokasi asal kami di Glenmarie sudah tidak mampu menampung pertumbuhan perniagaan Volvo yang kami mulakan lebih kurang enam tahun yang lalu. 

 

"Pusat yang lebih besar dan lebih baik ini dibangunkan memandangkan jumlah pelanggan kami yang kian meningkat. Ia juga berfungsi sebagai penambahan kepada lokasi jualan sedia ada kami di Bukit Bintang, yang berada di tengah-tengah Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

sisma

 

Pusat servis baharu itu dilengkapi peralatan diagnostik Volvo berkomputer terkini, pelbagai peralatan khas serta kelengkapan penjajaran dan pengimbangan roda.

 

Dengan pasukan yang dilatih khusus dan diiktiraf oleh Volvo, pusat ini sedia menangani segala keperluan servis bagi semua model Volvo, sama ada model enjin pembakaran, hibrid atau kenderaan elektrik. 

 

Ia juga dilengkapi dengan pengecas DC kapasiti tinggi 120kW untuk kegunaan umum.

 

sisma

 

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia Sdn. Bhd., Charles Frump menzahirkan penghargaan terhadap Sisma Auto kerana terlibat dengan pelaburan bagi mengembangkan jenama Volvo di negara ini.

 

"Pelaburan besar yang dibuat oleh Sisma Auto pastinya akan menyumbang kepada peningkatan yang nyata dari segi rangkaian kami serta pengalaman pemilikan Volvo,” katanya.

 

Pusat itu beroperasi dari 9 pagi hingga 7 malam bermula Isnin hingga Jumaat dan 10 pagi hingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad. - DagangNews.com