Sistem artileri buatan Turkiye bakal jadi pilihan perkasakan Angkatan Tentera Malaysia  | DagangNews Skip to main content

Sistem artileri buatan Turkiye bakal jadi pilihan perkasakan Angkatan Tentera Malaysia 

MKE Yavuz 155mm 52 kaliber SP buatan Turkiye
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kementerian Pertahanan (Mindef) dikatakan bakal memuktamadkan keputusan perolehan sistem artileri mudah gerak (SP) bagi meningkatkan kuasa tempur Tentera Darat.

 

Difahamkan, sistem artileri MKE Yavuz 155mm 52 kaliber SP buatan Turkiye sebagai pilihan persenjataan tersebut setelah penilaian dilakukan termasuk teknologi semasa yang canggih.

 

Kontrak ini termasuk penyediaan kemudahan infrastruktur serta kelengkapan-kelengkapan lain dengan jumlah yang dianggarkan sebanyak 18 unit meriam.

 

Meriam-meriam ini bagi kegunaan Rejimen Artileri Diraja (RAD) yang ketika ini mengoperasikan meriam jarak dekat Nexter LG1 105mm, Oto Melara Pack Howitzer 105mm dan meriam sederhana G5 155mm.

 

Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan ke Turkiye telah menyaksikan majlis tandatangan tujuh MoU bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di Ankara.

 

Satu daripadanya adalah MoU antara syarikat MA Analytics Sdn. Bhd. dengan Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE) bagi perolehan meriam tersebut.

 

MA Analytics merupakan syarikat tempatan yang terlibat dalam bidang pertahanan, tenaga dan telekomunikasi.

 

Syarikat ini sejak dua tahun lalu telah meneroka kerjasama apabila memeterai MoU dengan tiga firma Turkiye termasuk MKE bagi menjalankan kerjasama dalam memajukan industri pertahanan negara.


 

MKE Yavuz 155mm 52 kaliber SP

 


MKE merupakan syarikat milik penuh kerajaan Turkiye dimana 100 peratus pemegang sahamnya adalah Kementerian Pertahanan Turkiye manakala pengerusinya adalah Timbalan Menteri Pertahanan.

 

MKE turut memegang 50 peratus saham dalam syarikat Roketsan.

 

Sistem artileri SP merupakan meriam yang memilik mobiliti tinggi apabila senjata berkenaan dipasang terus pada kenderaan sebagai satu unit dengan sistem kawalan tembakan secara elektronik.

 

Berbanding meriam saiz sama yang ditunda dengan terak atau kenderaan, sistem SP kalis serangan balas musuh apabila mudah meninggalkan kawasan operasi setelah melepaskan tembakan.


 

turkiye
Syarikat MA Analytics memeterai MoU dengan tiga buah syarikat Turkiye pada Pameran International Defence Industry (IDEF 2021) di Tuyap Fair.

 


Yavuz 155mm 52 kaliber merupakan sistem artileri moden yang dikilangkan di Turkiye dengan teknologi canggih yang dipertingkatkan daripada meriam Panther 155mm yang digunakan Tentera Turkiye.

 

Sebuah unit lengkap meriam dan kenderaan mempunyai berat kira-kira 32 tan dan mampu bergerak selaju 90 kilometer (km) sejam di atas jalan dengan jarak operasi sehingga 600 km.

 

Sistem Yavuz mampu melepaskan tembakan pada kadar empat hingga enam butir seminit dan menyimpan 18 butir peluru yang diisi secara semi automatik dan manual.

 

Jarak tembakan ialah sehingga 40km dengan menggunakan amunisi MOD 274.


 

turkiye
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan semasa lawatan kerja ke negara itu Julai lalu.

 


Perolehan ini menamatkan penantian lebih 25 tahun Tentera Darat khususnya RAD untuk mengoperasikan sistem artileri mudah gerak dalam mempelbagaikan inventorinya.

 

Pemilikan sistem persenjataan ini dirancang apabila Tentera Darat mempunyai pasukan kereta kebal dan mekanise yang bergantung pada mobiliti serta perlu diatur gerak dengan cepat.

 

Sejak tahun 1998, beberapa sistem artileri SP telah diuji oleh Tentera Darat bagi melihat kesesuaian termasuk pengoperasian di kawasan mencabar.


 

turkiye

 


Antaranya ialah sistem Caesar 155mm buatan Perancis, Denel G6 155mm (Afrika Selatan), K9 Thunder (Korea Selatan) dan Nexter Caesar (Perancis).

 

Kriteria yang ditetapkan pula hendaklah mempunyai berat antara 17 tan hingga 25 tan selain boleh dimuatkan ke dalam pesawat pengangkut.

 

Pada tahun 2016, Tentera Darat hampir memiliki kira-kira 20 unit meriam terpakai M109A5 155mm SP yang ditawarkan Amerika Syarikat sebelum perolehan tersebut kemudian dibatalkan. - DagangNews.com