Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Sektor swasta di ASEAN kini mempunyai akses kepada sistem dalam talian yang baharu iaitu Sistem Transit Kastam ASEAN (ACTS) yang membantu mengurangkan cabaran perdagangan antara negara-negara ASEAN.
Badan pengurusan sistem berkenaan, Pasukan Pengurusan Pusat ACTS (CMT) berkata, sistem berkenaan juga membolehkan syarikat-syarikat mendapat manfaat daripada Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan pergerakan barangan yang bebas di seluruh rantau ASEAN.
Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi berkata, sistem berkenaan berperanan penting dalam mempermudahkan pergerakan yang lancar di wilayah ASEAN.
"Saya percaya sistem ini akan menjadi alat terbaik dalam meningkatkan jaringan perdagangan dan pengeluaran ASEAN, serta mewujudkan pasaran yang lebih bersepadu untuk syarikat dan pelanggan.
"ACTS juga dapat membantu pemulihan pasca-COVID untuk mempercepat pergerakan transit bekalan ubat, vaksin dan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE),” katanya dalam satu kenyataan.
Pada tahun 2017, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN telah menetapkan matlamat untuk mengurangkan kos transaksi sebanyak 10% menjelang 2020 dan menggandakan perdagangan antara negara-negara ASEAN antara tahun 2017 hingga 2025.
Bagi mencapai matlamat tersebut, Sistem Transit Kastam ASEAN telah dibangunkan untuk membolehkan syarikat-syarikat perniagaan membuat pengisytiharan e-transit secara terus dengan Pihak Berkuasa Kastam ASEAN dan menjejak pergerakan barangan dari ruang punggah di titik pelepasan ke destinasi penghantaran akhir.
Sistem Transit Kastam ASEAN memudahkan pergerakan barangan di seluruh rantau ini dan menjadikannya lebih cekap dan menjimatkan.
Dengan penggunaan ACTS, sektor swasta boleh membuat pengisytiharan transit Kastam tunggal yang merangkumi pengangkutan barangan merentasi beberapa negara ASEAN tanpa membuat pengisytiharan Kastam berulang kali atau menukar kenderaan di setiap sempadan.
Persetujuan khas membolehkan pedagang memuatkan barangan di premis mereka di negara barangan berlepas dan menghantar barangan ke premis mereka sendiri di titik destinasi.
Pelepasan Kastam yang lebih pantas di sempadan membantu mempercepat pergerakan transit dan mengurangkan masa dan perbelanjaan perdagangan barangan serantau bagi manfaat pengeluar dan pengguna di seluruh rantau ASEAN.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa di Kesatuan Eropah, Koen Deons memberitahu, ACTS merupakan pencapaian istimewa yang membuktikan kerjasama panjang yang kukuh dan dinamik antara ASEAN dan Kesatuan Eropah.
“ACTS akan menjadikan pergerakan barangan melalui jalan darat lebih pantas dan mudah, merentasi sempadan Negara Anggota ASIAN yang menyertai dan seterusnya mengurangkan kos perniagaan dan pengguna.
"EU berbesar hati kerana berpeluang menyertai ASEAN untuk menjadikan ACTS satu kenyataan, menyediakan kepakaran teknikal Eropah dan sumbangan sebanyak EUR10 juta sejak 2012, sebagai tambahan kepada EUR5 juta yang dilaburkan oleh rakan ASEAN kami," jelas beliau.
Dalam pada itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan Pengangkut ASEAN (AFFA), Yukki Nugrahawan pula berkata, pihaknya begitu teruja dengan pelancaran Sistem Transit Kastam ASEAN berkenaan selain menyatakan bahawa komuniti pengangkutan barangan menjadi salah satu penerima manfaat utama sistem berkenaan.
"Komuniti pengangkut barangan ialah salah satu penerima manfaat utama sistem ini kerana ia menawarkan prosedur Kastam dan kawalan pengangkutan yang mudah antara Negara Anggota ASEAN dan menyediakan kebolehramalan bagi masa penghantaran pintu ke pintu dan yang paling penting ialah kos pengangkutan yang lebih rendah.
"ACTS akan mempercepat pergerakan transit di seluruh rantau dengan ketara dan membantu kami mengurangkan masa dan perbelanjaan perdagangan rentas sempadan di ASEAN," tambah beliau lagi. - DagangNews.com