Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dijangka dilaksana 2022 | DagangNews Skip to main content

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dijangka dilaksana 2022

PUTRAJAYA 9 Ogos – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dijangka melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pada tahun 2022.

 

Ini susulan Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 14 Julai 2021 telah bersetuju supaya suri rumah diberikan perlindungan keselamatan sosial.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan berkata, SKSSR ini menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik seperti kemalangan, penyakit ataupun kematian, dibuka kepada semua suri rumah yang dianggarkan seramai 2.99 juta orang.

 

Beliau berkata, seramai 150,000 suri rumah dari isi rumah miskin dan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) akan dilindungi oleh Kerajaan, manakala bagi suri rumah yang lain, penyertaan adalah secara sukarela.

 

Menurutnya, pelaksanaan SKSSR wajar dijadikan agenda keselamatan sosial sebagai penggantian produktiviti kepada golongan suri rumah yang tidak mempunyai apa-apa perlindungan sekiranya mereka terlibat dalam bencana domestik atau mengalami keilatan yang mana sumbangan mereka mempunyai nilai ekonomi dalam pembangunan institusi kekeluargaan, ataupun the Care Economy.

 

“Justeru, perlindungan keselamatan sosial adalah perlu bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan suri rumah memandangkan fungsi dan tugas mereka amat penting dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara.

 

“Apatah lagi dengan pandemik COVID-19 yang membuatkan peranan dan tanggungjawab mereka semakin mencabar dengan amalan norma baharu seperti bekerja dari rumah (BDR) dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran anak-anak di rumah (PdPR),” katanya dalam kenyataan di sini.

 

saravanan
Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan

 

Buat masa ini, kata Saravanan, draf Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah sedang diperhalusi bersama oleh KSM dan Jabatan Peguam Negara sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri untuk pembentangan di Parlimen dalam masa terdekat. – DagangNews.com